'Kenakan hukuman mati terhadap penjawat awam terlibat rasuah' - Majlis Ulama Indonesia

JAKARTA – Majlis Ulama Indonesia (MUI) mencadangkan agar pegawai atau penjawat awam yang terbabit dalam jenayah rasuah dijatuhi hukuman mati, dengan alasan perbuatan itu telah merampas hak kehidupan ramai rakyat.
Ketua Umum MUI, Anwar Iskandar berkata, kesan rasuah bukan sekadar kerugian kewangan, sebaliknya memberi impak besar terhadap kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Beliau berkata, MUI telah lama mengambil pendirian bahawa hukuman mati wajar dipertimbangkan bagi kes rasuah berskala besar berdasarkan keputusan yang dibuat sejak tahun 2005.
“MUI sejak 2005, kalau tidak salah sudah mengeluarkan hukum bahawa perasuah itu hukumnya mati. Kerana mereka itu melanggar hak hidup daripada banyak orang,” katanya dalam kenyataan bertulis pada Jumaat.
Menurut beliau, rasuah membawa kepada kemiskinan dan penderitaan rakyat, termasuk dalam kes melibatkan kerugian kewangan berskala besar yang memberi kesan kepada jutaan orang.
“Berapa orang yang mati akibat rasuah? Berapa ramai yang menjadi miskin kerana perasuah itu?
"Ada pegawai yang melakukan rasuah sehingga bertrilion rupiah, itu merugikan berapa ramai orang? Membunuh ramai orang secara tidak langsung. Itu juga melanggar hak asasi manusia,” katanya.
Anwar turut menegaskan MUI kekal konsisten dengan pandangan bahawa hukuman tegas perlu dilaksanakan terhadap pelaku rasuah, khususnya yang melibatkan jumlah besar dan kesan luas kepada rakyat.
Beliau juga mengkritik pihak yang menggunakan hujah hak asasi manusia (HAM) sebagai alasan untuk menolak hukuman berat terhadap pelaku rasuah.
Menurutnya, dalam perspektif Islam, hak asasi manusia tidak bersifat mutlak apabila bercanggah dengan prinsip menjaga kemaslahatan dan keselamatan nyawa masyarakat. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

