Pengawal keselamatan ditemui hidup selepas lapan hari tertimbus runtuhan

CATIA LA MAR - Seorang pengawal keselamatan berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup selepas lapan hari terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela di sini pada 24 Jun lalu.
Hernan Alberto Gil Flores, 43, dikeluarkan dari ruang bawah tanah pusat beli-belah Galerias Playa Grande awal pagi Khamis menerusi satu operasi menyelamat yang disifatkan sebagai simbol harapan di sebalik tragedi yang meragut ribuan nyawa.
Mangsa ditemui dalam keadaan berdebu sebelum diusung menggunakan pengusung sambil diiringi sorakan pasukan penyelamat yang meraikan kejayaan operasi berkenaan.
Gil Flores dipercayai terperangkap sejak hari kejadian apabila bangunan itu runtuh susulan gegaran gempa bumi berkembar yang melanda wilayah pesisir La Guaira.
Pasukan penyelamat mengesan tanda-tanda kehidupan dan berjaya berhubung dengannya pada hujung minggu lalu sebelum melaksanakan operasi intensif selama lebih 100 jam untuk membebaskannya.
Operasi itu berdepan pelbagai cabaran termasuk struktur bangunan yang tidak stabil, hujan lebat dan gegaran susulan yang berterusan ketika pasukan penyelamat menggali terowong menuju ke lokasi mangsa.
Sebaik berjaya dikeluarkan, Gil Flores yang memakai topeng oksigen dibawa melalui lautan manusia menuju ke ambulans untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Anggota penyelamat dari beberapa negara termasuk Chile, Costa Rica, Amerika Syarikat, Portugal, Mexico, El Salvador dan Venezuela turut meraikan kejayaan operasi berkenaan.
Anggota Palang Merah Costa Rica, Minyar Collado berkata, mangsa pada mulanya meminta supaya isterinya tidak dimaklumkan bahawa dia masih hidup kerana bimbang usaha menyelamat gagal.
"Namun kami tidak pernah berniat untuk meninggalkannya di situ," katanya.
Operasi menyelamat itu dianggap satu keajaiban kecil selepas negara berkenaan bergelut dengan kemusnahan akibat bencana alam selama seminggu.
Bagi memastikan mangsa terus bertahan, pasukan penyelamat membekalkan makanan, air dan nutrien cecair melalui ruang sempit sepanjang operasi dijalankan.
Gil Flores yang bertugas sebagai pengawal keselamatan syif malam berada di pondok kawalan ketika gempa bumi pertama melanda.
Walaupun struktur konkrit di sekelilingnya runtuh, pondok kecil itu kekal utuh sekali gus melindunginya daripada runtuhan besar serta menyediakan ruang udara yang membolehkannya terus hidup.
Pasukan khas Palang Merah Costa Rica menjadi kumpulan pertama mengesan tanda-tanda kehidupan dan berjaya berhubung dengan mangsa pada Ahad lalu.
Isterinya, Gusbimar Gonzalez berkata, beliau hampir berputus asa sebelum dimaklumkan bahawa suaminya masih hidup.
"Apabila saya mendapat tahu dia masih hidup, saya nampak sinar harapan di tengah kegelapan," katanya.
Pasangan itu mempunyai dua orang anak berusia lapan dan 10 tahun.
Sepanjang operasi, pasukan penyelamat menggunakan kamera teleskopik untuk berkomunikasi dengan Gil Flores selain menyalurkan air dan nutrien bagi memastikan keadaannya kekal stabil.
Seorang anggota bomba veteran dari Chile, Maria Paz Campos, turut memberikan sokongan moral kepada mangsa dan membantu menenangkannya sehingga saat-saat akhir sebelum dia berjaya dibawa keluar.
Dalam rakaman yang dikeluarkan pasukan bomba Chile sebelum operasi tamat, Gil Flores dilihat melukis bagi mengisi masa sementara menunggu bantuan tiba.
Bangunan itu runtuh selepas Venezuela dilanda dua gempa bumi berturut-turut berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud pada 24 Jun lalu.
Bencana berkenaan menyebabkan puluhan ribu bangunan rosak atau musnah di utara Venezuela, mengorbankan lebih 2,200 orang serta mencederakan lebih 11,000 yang lain.
Wilayah La Guaira dilaporkan menjadi kawasan paling teruk terjejas dalam tragedi itu. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

