Harung cabaran demi bantuan untuk penduduk Ulu Tembeling

Misi bantuan kepada penduduk terjejas di beberapa buah kampung di Ulu Tembeling.
Misi bantuan kepada penduduk terjejas di beberapa buah kampung di Ulu Tembeling.
A
A
A

JERANTUT - Pasukan Task Force UMNO Jerantut sanggup mengharungi perjalanan sukar menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan menaiki bot untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk di kawasan pedalaman di Ulu Tembeling semalam.

Bantuan daripada kerajaan negeri tersebut diberikan bagi meringankan beban penduduk di Kampung Mat Daling, Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Pagi dan Kampung Orang Asli Sungai Tekal yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, lebih 300 bungkusan bekalan keperluan asas makanan diserahkan dalam siri sumbangan fasa dua kerajaan negeri dan UMNO Bahagian Jerantut dalam tempoh PKP dikuatkuasa.

Menurutnya, beliau bersama unit task force UMNO Jerantut menaiki pacuan empat roda ke Kampung Pagi, Kampung Sat dan Kampung Mat Daling dan seterusnya menaiki bot ke Kampung Bantal dan Kampung Gusai.

"Amanah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk membantu rakyat di mana-mana sahaja kediaman telah ditunaikan walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran di darat dan di air.

"Saya doakan mereka tabah menghadapi tempoh PKP yang dilanjutkan ke Fasa 3 sehingga 28 April depan," katanya

Nazri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penduduk terlibat di beberapa buah kampung di Ulu Tembeling.
Nazri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penduduk terlibat di beberapa buah kampung di Ulu Tembeling.

Turut menyertai misi bantuan itu ialah Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Zulkarmi Abu Bakar dan Jawatankuasa Unit Task Force, Datuk Ridzuan Mansor.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap sumbangan diberikan sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang terjejas.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut berkata, pihaknya akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di daerah ini.

Katanya, bantuan tidak terhad di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar sahaja tetapi semua DUN dalam Parlimen Jerantut.