'Kesepakatan umat perlu realistik, bukan penuhi nafsu politik' - Syed Ali

Syed Ali (gambar kecil) berkata, penyatuan umat hanya mampu dibentuk menerusi rasa tanggungjawab dan semangat keikhlasan dalam kalangan parti-parti politik Melayu. Foto: Bernama
Syed Ali (gambar kecil) berkata, penyatuan umat hanya mampu dibentuk menerusi rasa tanggungjawab dan semangat keikhlasan dalam kalangan parti-parti politik Melayu. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Agenda penyatuan umat perlu digerakkan secara realistik, telus dan berlandaskan kepentingan agama serta negara, bukannya dijadikan alat untuk memenuhi kepentingan atau nafsu politik mana-mana pihak.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, penyatuan umat hanya mampu dibentuk menerusi rasa tanggungjawab dan semangat keikhlasan dalam kalangan parti-parti politik Melayu.

Menurutnya, usaha tersebut tidak seharusnya dibelenggu oleh kepentingan peribadi kelompok tertentu atau terlalu terikat dengan ideologi kepartian sehingga menjejaskan matlamat asal penyatuan.

“Agenda penyatuan perlu berteraskan kepentingan agama dan negara bangsa dengan mengambil kira realiti masyarakat majmuk yang menjadi asas kepada kemakmuran negara.

“Kesepakatan itu tidak boleh dibina atas kepentingan politik sempit, sebaliknya perlu berpaksikan keikhlasan untuk memperkukuhkan perpaduan demi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, rakyat juga perlu menolak mana-mana pihak yang menentang gagasan penyatuan umat semata-mata kerana didorong oleh agenda dendam politik.

Dalam masa sama, katanya, masyarakat tidak seharusnya memberi ruang kepada mana-mana pihak yang sengaja memperalatkan agama atau memanipulasi sentimen perkauman bagi meraih sokongan politik.

“Pemimpin yang benar-benar mengutamakan kepentingan kesatuan Melayu juga jangan mudah terperangkap dengan helah pihak tertentu yang sebenarnya berasa gusar sekiranya agenda penyatuan umat menjadi kenyataan,” ujarnya.

Syed Ali menegaskan, agenda penyatuan umat perlu dilaksanakan dengan lebih jelas, telus dan disertai rasa tanggungjawab yang tinggi demi mewujudkan keharmonian serta kestabilan negara.

Artikel Berkaitan:

“Matlamat utama penyatuan bukan untuk memuaskan nafsu politik mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan kepentingan umat dan negara terus dipelihara secara harmoni serta realistik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!