Gaza kini jadi 'lubuk penyakit'

GENTING GAZA - Bagi penduduk Genting Gaza, ancaman peperangan kini bukan lagi sekadar hujan bom dan peluru.
Timbunan sampah yang menggunung, air kumbahan yang melimpah, suhu yang meningkat dan kekurangan bekalan air bersih telah menjadikan wilayah itu 'lubuk penyakit' yang semakin tidak terkawal.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) baru-baru ini melaporkan lebih daripada 125,000 kes jangkitan kulit yang dikaitkan dengan tikus dan parasit antara Januari hingga Mei lalu.
Ia memberi amaran peningkatan serangan haiwan perosak dan kemerosotan keadaan sanitasi sedang meningkatkan risiko kesihatan awam di seluruh Gaza.
Krisis sanitasi menjadi antara cabaran paling mendesak yang dihadapi kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza selepas kempen pencerobohan Israel memusnahkan infrastruktur dan berulang kali memaksa sebahagian besar penduduk berpindah ke pusat perlindungan yang sesak serta 'bandar khemah'.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 90 peratus infrastruktur air dan sanitasi di wilayah itu telah rosak atau musnah manakala kira-kira 80 peratus penduduk kini bergantung kepada bekalan air minuman yang dihantar menggunakan lori tangki.
Berdasarkan Penilaian Akhir Kemusnahan dan Keperluan Gaza oleh Bank Dunia, Kesatuan Eropah (EU) dan PBB, Gaza memerlukan kira-kira AS$71.4 bilion (RM291 bilion) bagi pemulihan dan pembinaan semula sedekad akan datang termasuk AS$26.3 bilion (RM107 bilion) untuk tempoh 18 bulan pertama.
Dengan suhu mencecah 34 hingga 35 darjah Celsius sepanjang dua minggu terakhir Jun, sebahagian besar keluarga terpaksa menyejukkan badan di laut yang tercemar.
Penyelaras kecemasan Medecins Sans Frontieres (MSF) yang berpusat di Amman, Prue Coakley berkata, kemusnahan infrastruktur asas telah menyebabkan kehidupan harian penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan.
"Pasukan MSF telah melihat pelbagai penyakit berkaitan sanitasi selain peningkatan jangkitan saluran pernafasan pada musim sejuk. Kesan terhadap kesihatan itu berkait secara langsung dengan kemusnahan infrastruktur," ujarnya.
Sementara itu, jurucakap WHO, Christian Lindmeier memberitahu keruntuhan sistem bekalan air, sanitasi dan kebersihan telah mewujudkan persekitaran yang memudahkan penularan pelbagai penyakit.
"Antara penyakit yang dikesan termasuk cirit-birit berair akut, hepatitis A, jangkitan kulit dan parasit, kudis buta serta infeksi saluran pernafasan yang mudah merebak di kawasan berpenduduk padat," jelasnya.

Bagi meringankan derita penduduk Palestin, UNRWA terus menyediakan perkhidmatan kecemasan berkaitan bekalan air, sanitasi dan pengurusan sisa di kawasan yang masih boleh diakses.
Namun, agensi itu berulang kali memberi amaran bahawa kekurangan bahan api, ubat-ubatan dan bekalan sanitasi menjejaskan usaha membendung penularan penyakit serta mengekalkan perkhidmatan asas.
Agensi bantuan yang bertungkus-lumus membendung wabak di wilayah itu menegaskan ubat-ubatan sahaja tidak dapat menyelesaikan krisis yang berpunca daripada keruntuhan infrastruktur, perpindahan penduduk yang tiada kesudahan dan akses kepada air bersih yang semakin sukar diperoleh.
Bagi kebanyakan keluarga di Gaza, perjuangan mereka kini bukan lagi sekadar terus hidup dalam peperangan, tetapi juga untuk melindungi kesihatan daripada kesan krisis yang berpanjangan. - Agensi
Info
>Data WHO bagi tempoh 1 Januari hingga 7 Mei lalu merekodkan lebih 153,100 kes cirit-birit berair akut di Gaza. Sepanjang 2025 pula, lebih 493,000 kes dilaporkan dengan kira-kira 47 peratus melibatkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
>Kanak-kanak kekal sebagai golongan yang paling terdedah kepada krisis sanitasi yang semakin buruk.
>Analisis Situasi Kesihatan Awam terkini WHO memberi amaran penduduk Gaza masih terdedah kepada risiko cuaca ekstrem. Ancaman penyakit dijangka meningkat pada musim panas berikutan bekalan air, sanitasi dan kebersihan yang sangat terhad.
>73.6 peratus daripada 2,627 sampel kualiti air yang diambil dari seluruh Gaza didapati gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan dengan sebahagiannya tercemar dengan bakteria koliform najis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

