Doakan Syed Saddiq - Bella

PUTRAJAYA - Tunang Ahli Parlimen Muar, Bella Astillah tiba di Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa bagi mengikuti keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Pelakon dan penyanyi yang memakai baju kurung berwarna kuning, tiba jam 7.55 pagi sambil tersenyum manis dengan ditemani ahli keluarganya.
"Doakan," kata pelakon berusia 33 tahun itu ketika ditanya media mengenai harapan berhubung keputusan kes berkenaan.
Beliau kemudiannya menuju kamar mahkamah untuk bertemu dengan ibu bapa Syed Saddiq, yang terlebih dahulu tiba jam 7 pagi.

Nasib Syed Saddiq bagi empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) bakal ditentukan pagi ini.
Keputusan yang dinanti-nantikan itu akan menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun tersebut kekal bebas atau kembali disabit dengan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menyampaikan keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum ini.
Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pendakwaan selaku perayu, sementara Syed Saddiq sebagai responden.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

