X

Kindly register in order to view this article
!

Elak harga barang naik, KPDNHEP laksana Skim Harga Maksimum

Ismail Sabri Yaakob. -Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum bagi mengatasi kenaikan harga barang keperluan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika sebelum ini skim tersebut dilaksanakan setiap kali musim perayaan, tetapi kerajaan memutuskan ia dilaksanakan dengan senarai barang yang terlibat akan diumumkan oleh kementerian terlibat.

"Memandangkan kita akan memulakan PKP (fasa tiga) pada 15 April ini, kita faham kemungkinan ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Justeru, KPDNHEP perlu dan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum sebagai langkah membendung kenaikan harga barang sepanjang PKP fasa ketiga nanti," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut memaklumkan bahawa bekalan basah dan kering terutama beras lebih daripada mencukupi.

"Walaupun PKP fasa ketiga akan dilaksanakan, rakyat tidak perlu risau sama ada bekalan makanan di pasaran cukup atau tidak kerana KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah membuat pemeriksaan.

"Ia mencukupi untuk keperluan rakyat. Jangan ada pembelian panik kerana semua cukup," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, KPDNHEP turut menyatakan bahawa pihaknya sentiasa memantau bekalan barangan keperluan harian sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

"KPDNHEP menjalankan pemeriksaan khas terhadap barang-barang keperluan harian di seluruh negara bagi menentukan tahap keberadaan (availability) 25 jenis barangan yang menjadi pilihan utama pengguna di pasaran.

"Semalam (11 April 2020), pemantauan khas telah dilaksanakan melalui 1,205 pemeriksaan melibatkan para peniaga di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang," katanya.

Jelasnya, daripada pemeriksaan di premis runcit, hampir semua barangan keperluan asas berada pada tahap stabil di mana kedudukan ketersediaan bekalan mencukupi termasuk bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.

"KPDNHEP telah menerima sejumlah 8,145 aduan dan pertanyaan berkaitan bekalan dan harga dari 18 Mac sehingga 11 April 2020 melalui empat saluran utama iaitu WhatsApp 4,140; Sistem E-Aduan 1,766; talian Hotline 1,631 dan talian melalui Enforcement Command Center 608," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus