14 maut, helikopter terhempas di Arab Saudi

Helikopter terhempas di Ras Tanura, rumah kepada kilang penapisan utama gergasi minyak Aramco. Foto Reuters
Helikopter terhempas di Ras Tanura, rumah kepada kilang penapisan utama gergasi minyak Aramco. Foto Reuters
A
A
A

RAS TANURA - Seramai 14 orang dilaporkan terbunuh selepas sebuah helikopter terhempas di bandar pesisir timur Ras Tanura, Arab Saudi, pada awal pagi Ahad.

Menurut laporan media kerajaan yang dipetik oleh Agensi Berita Saudi (SPA), helikopter milik syarikat minyak negara, Aramco, itu terhempas kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan.

Semua individu yang berada di dalam pesawat tersebut disahkan maut dalam kejadian itu.

SPA turut melaporkan bahawa kesemua 14 mangsa merupakan warganegara Arab Saudi, manakala siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas tersebut.

Syarikat Aramco masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu setakat ini.

Namun, Kementerian Tenaga Arab Saudi telah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Ras Tanura merupakan lokasi loji penapisan minyak utama milik Aramco dan antara yang terbesar di Timur Tengah.

Sebelum ini, agensi berita Reuters melaporkan bahawa syarikat itu telah menyambung semula operasi pemuatan minyak mentah di lokasi berkenaan pada Jumaat lalu selepas dihentikan hampir empat bulan berikutan konflik di rantau tersebut.

Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!