11 maut pesawat terhempas di Perancis

ISTANBUL - Sebelas orang terbunuh apabila sebuah pesawat awam terhempas berhampiran Bandar Nancy di timur Perancis pada Ahad, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan.
Pesawat itu terhempas di Bandar Tomblaine, di Wilayah Meurthe-et-Moselle, sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Nancy-Essey, menurut pihak wilayah seperti dilaporkan stesen penyiar Perancis BFM TV.
Kesemua 11 individu yang berada di dalam pesawat itu terkorban termasuk juruterbang serta dua kumpulan masing-masing terdiri daripada lima penerjun payung terjun yang menyertai sesi terjun udara.
Thierry Pechey, Ketua Cawangan Meurthe-et-Moselle bagi Persatuan Jururawat Bebas, memberitahu BFMTV yang mangsa dipercayai termasuk jururawat bebas yang menyertai satu program pengenalan, bersama jurulatih terjun udara.
Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez dijangka melawat lokasi nahas pada lewat Ahad, menurut pejabatnya.
Penguasa Wilayah Meurthe-et-Moselle Yves Seguy berkata beliau mengaktifkan pusat operasi jabatan bagi menyelaras perkhidmatan kecemasan serta memantau operasi tindak balas secara masa nyata.
Polis menggesa orang ramai agar mengelakkan kawasan sekitar Rue Salvador Allende di Tomblaine bagi membolehkan pasukan penyelamat dan penguat kuasa menjalankan tugas tanpa sebarang halangan di lokasi nahas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
