Terengganu beri bantuan tunai kepada empat penggiat pelancongan

Ariffin (tiga dari kanan) bersama empat kumpulan penggiat pelancongan yang layak menerima bantuan tunai 'one off' oleh kerajaan negeri.
Ariffin (tiga dari kanan) bersama empat kumpulan penggiat pelancongan yang layak menerima bantuan tunai 'one off' oleh kerajaan negeri.
A
A
A

KUALA NERUS – Kerajaan Terengganu bersetuju memberi bantuan tunai secara 'one off' kepada empat kumpulan penggiat pelancongan yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan ekoran penyebaran wabak koronavirus (Covid-19).

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, empat kumpulan itu adalah pengayuh beca, pemandu bot penambang, pemandu pelancong bandar dan alam semula jadi serta malim gunung.

Menurutnya, kira-kira 200 penggiat pelancongan dijangka memperoleh manfaat tersebut dan jumlah bantuan tunai itu akan diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam masa terdekat.

“Ini antara tindakan segera dan utama yang diambil kerajaan dalam usaha mengembalikan kerancakan ekonomi serta pelancongan negeri ini,” katanya dalam sidang media di Duyung Marina & Resort di sini hari ini.

Ariffin berkata, kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pelancongan negeri merangka pelan rangsangan dan pelan strategik pelancongan dalam usaha meningkatkan semula sektor ini yang menunjukkan perkembangan positif sejak dua tahun lalu.

Usaha itu katanya penting bagi menangani impak Covid-19 terhadap bidang pelancongan, melestari sektor ini dalam tempoh penyebaran Covid-19 dan memacu pertumbuhan industri pelancongan Terengganu.

“Kita juga berusaha memberi keyakinan kepada pelancong bahawa produk pelancongan, hotel, tempat penginapan dan lain-lain adalah selamat dari Covid-19 apabila berakhirnya PKP nanti dan adakan kempen pelancongan domestik.

“Turut dilakukan adalah meneruskan promosi di media cetak, elektronik dan meningkatkan penggunaan media sosial,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ariffin memaklumkan kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertanggungjawab membuat kajian menyeluruh kerugian ditanggung dalam sektor pelancongan Terengganu impak pandemik Covid-19.

“Kajian ini masih berjalan kerana PKP belum tamat,” katanya.