Prabowo persoal Indonesia belum mampu hasilkan kereta sendiri

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mempersoalkan mengapa negara itu masih belum mampu menghasilkan kereta nasional sepenuhnya walaupun sudah 81 tahun mencapai kemerdekaan.
Beliau membangkitkan persoalan itu ketika berucap di hadapan ahli akademik dan profesor dalam satu majlis rasmi, sambil menggesa institusi pengajian tinggi memainkan peranan lebih besar dalam memperkasa penyelidikan serta inovasi negara.
Menurut Prabowo, Indonesia yang kaya dengan sumber asli dan memiliki ramai tenaga pakar seharusnya mampu membangunkan teknologi sendiri tanpa terlalu bergantung kepada negara lain.
“Mengapa selepas 81 tahun merdeka, Indonesia masih belum mampu menghasilkan kereta sendiri?” katanya.
Beliau menegaskan sudah tiba masanya Indonesia tidak lagi sekadar menjadi pasaran bagi teknologi asing, sebaliknya muncul sebagai pengeluar teknologi melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi akademik.
Kenyataan itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Ada yang menyokong gesaan Prabowo agar penyelidikan universiti diterjemahkan kepada produk berimpak tinggi, manakala sebahagian pihak berpendapat usaha tersebut perlu disokong dengan peruntukan penyelidikan yang lebih besar daripada kerajaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

