Penganalisis saran Prabowo 'berehat' daripada berucap redakan kemarahan rakyat

JAKARTA - Penganalisis politik Indonesia, Pangi Syarwi Chaniago menyarankan Presiden Prabowo Subianto mengurangkan penampilan berucap di khalayak buat sementara waktu bagi meredakan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.
Pengarah Eksekutif Voxpol Center Research and Consulting itu berkata, pelbagai kritikan serta demonstrasi yang berlaku ketika ini bukan semata-mata berpunca daripada dasar kerajaan, sebaliknya turut dipengaruhi cara komunikasi Presiden dengan masyarakat.
"Pada pandangan saya, tidak perlu Prabowo berucap dahulu. Jika beliau berhenti berucap untuk tempoh satu atau dua bulan, keadaan mungkin akan reda.
"Malah, jika seminggu sahaja beliau tidak berucap, mungkin tiada lagi demonstrasi," katanya kepada Tribunnews.com menerusi panggilan telefon pada Jumaat.
Menurut Pangi, selepas itu kerajaan boleh memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Antara cadangan beliau termasuk menurunkan harga bahan api Pertamax, menanggung premium BPJS Kesihatan, mengurangkan tarif elektrik serta merealisasikan janji mengurangkan komisen aplikasi e-hailing motosikal kepada lapan peratus.
Beliau turut mengingatkan Prabowo supaya tidak terlalu berkeras mempertahankan pendekatan komunikasi sedia ada.
"Jangan terlalu berkeras dan mencabar rakyat. Mungkin pencapaian Prabowo lebih baik daripada Jokowi, tetapi cara beliau berucap boleh menenggelamkan semua pencapaian itu," katanya.
Pangi berpandangan banyak ucapan Prabowo dilihat tidak terarah dan sukar dikawal.
Beliau merujuk kepada ucapan Presiden Indonesia itu ketika merasmikan Musyawarah Nasional Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (Hipmi) di Bandar Lampung pada Rabu lalu.
Dalam ucapan berkenaan, Prabowo menggesa usahawan mengabaikan pihak yang sering mengkritik sambil menggunakan peribahasa, "biar anjing menggonggong, kafilah tetap berlalu".
Beliau juga menegaskan Indonesia kini berada di landasan yang betul menuju kejayaan dan rakyat tidak perlu melayan komen negatif.
Pangi turut membandingkan pendekatan komunikasi Prabowo dengan bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang menurutnya lebih berjaya menjaga sentimen masyarakat.
"Intipati kepimpinan di Indonesia sebenarnya mudah, iaitu memahami dan menjaga hati rakyat. Itulah kekuatan Jokowi sepanjang pentadbirannya," katanya.
Beliau berpendapat kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur menerusi pembangunan fizikal, sebaliknya sejauh mana pemerintah mampu mewujudkan ketenangan dan keyakinan dalam kalangan rakyat.
Dalam masa sama, Pangi menyifatkan Prabowo sebagai seorang pemimpin yang dilihat tegas dan sukar mengubah corak komunikasinya, sekali gus mencetuskan penolakan dalam segelintir masyarakat.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut merupakan pandangan peribadi Pangi dan tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan Indonesia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

