Membaca dapatan Merdeka Center secara seimbang

SETIAP kali keputusan kajian pendapat awam diterbitkan, hampir semua pihak akan mendakwa bahawa merekalah yang sedang mendapat sokongan rakyat.
Kerajaan melihat angka tertentu sebagai bukti penerimaan terhadap pentadbiran mereka, manakala pembangkang pula memilih angka lain bagi menunjukkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan.
Hakikatnya, kajian pendapat awam tidak boleh dibaca secara terpilih. Ia perlu ditafsir secara menyeluruh berdasarkan data, konteks politik dan kaedah analisis yang digunakan dalam penyelidikan politik.
Tinjauan Merdeka Center yang dijalankan antara 12 Mac hingga 9 April 2026 melibatkan 1,209 responden memberikan gambaran bahawa landskap politik negara masih kompetitif dan belum memihak secara mutlak kepada mana-mana tokoh atau gabungan politik.
Seramai 42% responden berpendapat negara berada di landasan yang betul manakala 50% berpandangan negara berada di landasan yang salah.
Pada masa yang sama, 50% responden berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Kerajaan Persekutuan berbanding 48% yang tidak berpuas hati. Ini menunjukkan bahawa kerajaan masih belum mendapat sokongan yang meyakinkan.
Dari sudut isu, ekonomi terus menjadi kebimbangan utama rakyat apabila 73% responden menyatakan ekonomi sebagai masalah paling penting yang dihadapi negara.
Kos sara hidup, pendapatan isi rumah, harga barang dan peluang pekerjaan masih mendominasi pertimbangan politik pengundi.
Ini memberi isyarat bahawa prestasi ekonomi kekal menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi perubahan sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka, pengundi Melayu kekal sebagai kumpulan pengundi paling signifikan dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum.
Hal ini kerana orang Melayu merupakan kumpulan etnik terbesar dalam daftar pemilih negara, manakala peratusan pengundi Melayu juga menunjukkan peningkatan dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya yang berikutnya.
Di samping itu, sebahagian besar kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia mempunyai komposisi pengundi Melayu yang dominan.
Justeru, corak sokongan pengundi Melayu akan terus menjadi faktor penting dalam menentukan gabungan politik yang berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Atas sebab itu, analisis terhadap tahap penerimaan pemimpin dalam kalangan responden Melayu wajar diberikan perhatian khusus, tanpa menafikan bahawa sokongan pengundi bukan Melayu turut memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan dan kestabilan politik negara.
Perbahasan mengenai siapakah pemimpin yang benar-benar mendapat sokongan rakyat juga perlu dilihat melalui kaedah analisis yang lebih menyeluruh.
Dalam penyelidikan politik di peringkat antarabangsa, ukuran net approval sering digunakan bagi menilai kekuatan sebenar seseorang pemimpin.
Ukuran ini merupakan perbezaan antara kadar responden yang berpuas hati dengan kadar yang tidak berpuas hati.
Pendekatan tersebut digunakan secara meluas oleh organisasi penyelidikan pendapat awam seperti Gallup, YouGov, Ipsos dan Morning Consult dalam menilai prestasi Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri United Kingdom serta pemimpin politik di pelbagai negara.
Berbanding hanya memetik kadar "puas hati", net approval memberikan gambaran yang lebih adil kerana mengambil kira kedua-dua sentimen sokongan dan penolakan.
Apabila pendekatan tersebut diaplikasikan kepada dapatan Merdeka Center, Khairy Jamaluddin muncul sebagai pemimpin yang mencatat net approval tertinggi dalam kalangan responden Melayu, iaitu +36 mata hasil daripada 62% responden yang berpuas hati berbanding 26% yang tidak berpuas hati.
Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula merekodkan +22 mata, diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan +6 mata.
Dapatan ini menunjukkan ketiga-tiga tokoh tersebut masih mempunyai lebihan sokongan berbanding penolakan dalam kalangan pengundi Melayu.
Walau bagaimanapun, tahap penerimaan individu tidak semestinya diterjemahkan secara langsung kepada kebarangkalian untuk menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya.
Mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong melantik sebagai Perdana Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Namun, berdasarkan amalan politik Malaysia sejak pilihan raya umum yang lalu, individu yang dilantik sejurus selepas pilihan raya lazimnya ialah pemimpin yang mengetuai parti atau gabungan politik yang berjaya membentuk kerajaan.
Pengecualian seperti pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlaku ketika pertukaran kepimpinan dalam penggal Parlimen yang sedang berjalan dan bukannya hasil pelantikan sejurus selepas pilihan raya umum.
Oleh itu, sekiranya penilaian dibuat berdasarkan tokoh yang mempunyai laluan politik paling jelas untuk mengetuai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum akan datang, perhatian lebih wajar diberikan kepada pemimpin yang mengetuai tiga gabungan politik utama negara, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi Perikatan Nasional dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Barisan Nasional.
Dalam kalangan ketiga-tiga pemimpin gabungan ini, Ahmad Samsuri mencatat kedudukan paling kukuh dalam kalangan responden Melayu dengan net approval +22 mata, diikuti Anwar Ibrahim (-6 mata) dan Ahmad Zahid Hamidi (-29 mata).
Dari sudut ini, Ahmad Samsuri berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding dua lagi pemimpin gabungan utama dalam memperoleh penerimaan pengundi Melayu.
Dalam masa yang sama, kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh diketepikan. Beliau masih merekodkan net approval +6 mata, menunjukkan lebih ramai responden Melayu berpuas hati berbanding tidak berpuas hati terhadap kepimpinan beliau. Namun, apabila dibandingkan dengan Ahmad Samsuri, kadar penerimaan Muhyiddin adalah lebih rendah.
Dapatan ini memberi petunjuk bahawa dalam kalangan kepimpinan Perikatan Nasional sendiri, Ahmad Samsuri pada ketika ini mempunyai imej yang lebih positif dalam kalangan responden Melayu.
Walau bagaimanapun, dapatan ini tidak seharusnya ditafsir sebagai penentu kepada kepimpinan parti atau calon Perdana Menteri, sebaliknya hanya mencerminkan tahap penerimaan responden terhadap prestasi dan imej pemimpin pada waktu kajian dijalankan.
Sekiranya dilihat pada keseluruhan responden tanpa mengira kaum, gambaran yang berbeza pula muncul. Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh kadar kepuasan keseluruhan tertinggi iaitu 52%, mengatasi semua pemimpin lain dalam tinjauan ini.
Ini menunjukkan kekuatan beliau datang daripada sokongan tinggi khususnya daripada kalangan pengundi bukan Melayu, manakala Ahmad Samsuri memperlihatkan kekuatan yang lebih ketara dalam kalangan responden Melayu.
Corak ini menggambarkan bahawa landskap politik Malaysia masih dicirikan oleh perbezaan pola sokongan mengikut segmen pengundi.
Kesimpulannya, polemik mengenai siapakah yang paling mendapat sokongan rakyat tidak boleh diselesaikan dengan hanya memilih satu angka yang menguntungkan mana-mana pihak.
Dapatan Merdeka Center menunjukkan bahawa setiap pemimpin mempunyai kekuatan dalam segmen pengundi yang berbeza.
Khairy Jamaluddin muncul sebagai pemimpin yang mencatat tahap penerimaan peribadi tertinggi dalam kalangan responden Melayu. Namun, dari sudut realiti pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum, perhatian juga perlu diberikan kepada pemimpin yang mengetuai gabungan politik utama negara.
Dalam kelompok tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencatat penerimaan tertinggi dalam kalangan responden Melayu, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai pemimpin yang memperoleh penerimaan keseluruhan tertinggi di peringkat nasional.
Justeru, analisis yang berasaskan net approval, digabungkan dengan pemahaman terhadap struktur politik Malaysia dan amalan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya, memberikan tafsiran yang lebih adil, lebih objektif dan lebih hampir kepada realiti berbanding dakwaan bahawa hanya seorang pemimpin sahaja sedang mendapat sokongan rakyat.
*** Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

