USIM sumbang PPE untuk petugas barisan hadapan

Antara PPE yang dihasilkan oleh USIM.
Antara PPE yang dihasilkan oleh USIM.
A
A
A

NILAI - Jika sebelum ini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan produk cecair pembasmi kuman dan pelindung muka (face shiled), kali ini universiti berkenaan tampil menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk disumbangkan kepada barisan hadapan khususnya petugas kesihatan.

Usaha murni yang diterajui dan digerakkan oleh pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM dan kakitangan Klinik Pakar Kesihatan USIM (KPKU) menyasarkan sebanyak 4,500 unit PPE dapat disiapkan menjelang akhir April ini.

Projek penghasilan PPE oleh USIM yang terdiri daripada gaun, 'head cover' dan 'boot cover' itu telah bermula pada 2 April lalu secara berperingkat.

Ketua Projek, Profesor Madya Dr Azlina Mokhtar yang juga Pakar Oftalmologi berkata, pihaknya terpanggil untuk menggerakkan usaha itu atas rasa prihatin dan ingin membantu rakan-rakannya yang bertugas di barisan hadapan menghadapi kekurangan bekalan PPE di hospital.

Katanya, usaha awal itu dimulakan dengan mengumpul sumbangan kewangan dan menubuhkan pasukan sukarelawan terdiri daripada pensyarah perubatan USIM dan staf KPKU untuk menjahit PPE.

"Hasil daripada usaha awal itu, sebanyak 470 unit PPE berjaya dihasilkan dan telah disumbangkan ke Hospital Ampang dan berhasrat akan menghasilkan lebih banyak lagi untuk disumbangkan kepada barisan hadapan.

“Ketika ini USIM dalam penghasilan PPE untuk kumpulan kedua sebanyak 1,000 unit dan kita bekerjasama dengan syarikat jahitan tempatan iaitu Kamoora Butik Entreprise dan Pookal Industry Sdn Bhd dan akan disumbangkan ke Hospital Ampang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; dan Hospital Port Dickson. Ketiga-tiga hospital ini merupakan Hospital Pengajar kepada pelajar perubatan USIM juga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Antara PPE yang dihasilkan oleh USIM.
Antara PPE yang dihasilkan oleh USIM.

Katanya, kumpulan ketiga PPE akan dihasilkan sebanyak 1,000 unit lagi khusus memenuhi keperluan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, kini sukarelawan sedang menyiapkannya di Pusat Inkubator Jahitan USIM di bawah penyelarasan Pusat Keusahawanan Universiti.

Tambahnya, USIM menyasarkan sebanyak 2,000 unit lagi PPE dapat dihasilkan untuk kumpulan keempat dan akan diagihkan bukan sahaja kepada Hospital Pengajar USIM dan HTJ, tetapi turut digunakan untuk menampung keperluan Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Pusat Hemodialysis USIM di Nilai, Klinik Kesihatan dan Pusat Kesihatan Daerah.

Sebanyak RM67,000 kos kewangan diperuntukkan untuk usaha murni itu dengan sebahagian kos ditampung melalui sumbangan daripada Majlis Dato’-Dato’ Kurnia Negeri Sembilan, Yayasan Munarah Negeri Sembilan, Tabung Covid-19 USIM, Jemaah Profesor USIM dan sumbangan individu dalam kalangan pensyarah FPSK dan staf KPKU sendiri.