'Saya ingat kemalangan' - Menteri kongsi detik polis buru suspek kes dadah

Hantaran dimuat naik Fahmi menerusi Instagram.
Hantaran dimuat naik Fahmi menerusi Instagram.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkongsi detik beliau menyaksikan sendiri operasi polis mengejar beberapa suspek dipercayai terlibat dalam kes dadah ketika dalam perjalanan ke Pantai Dalam.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram beliau pada Khamis, Fahmi berkata, pada mulanya beliau menyangka kejadian itu adalah satu kemalangan jalan raya sebelum menyedari ia merupakan operasi pihak polis.

"Dalam perjalanan ke Pantai Dalam tadi, saya menyaksikan satu kejadian. Mula-mula saya ingatkan kemalangan, tapi rupanya operasi pihak polis mengejar suspek kes dadah," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, polis berjaya menahan beberapa suspek yang cuba melarikan diri dalam operasi berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Polis Balai Pantai atas tindakan pantas serta komitmen berterusan mereka dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat terus terpelihara.

"Syabas dan terima kasih kepada pasukan Polis Balai Pantai atas tindakan pantas, serta komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat sentiasa terpelihara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian itu berlaku apabila anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang menjalankan tugas pencegahan jenayah dan pemeriksaan kenderaan mengarahkan sebuah kenderaan berhenti untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, pemandunya bertindak melarikan diri sebelum pihak polis mengejar kenderaan terbabit.

"Kenderaan itu akhirnya berjaya diberhentikan di kawasan Pantai Sentral selepas melalui beberapa lokasi di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Polis kemudian menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi suspek disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari jejambat ketika cuba melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa barangan yang dipercayai berkaitan aktiviti jenayah curi dan penyalahgunaan dadah, yang kesemuanya dirampas untuk siasatan lanjut.

Semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, manakala seorang daripada mereka dikehendaki polis kerana kesalahan berkaitan dadah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!