X

Kindly register in order to view this article
!

Kesihatan murid perlu diutamakan

A
A

DALAM usaha memerangi penularan koronavirus (Covid-19), kerajaan telah dan sedang bertungkus-lumus menyusun pelbagai langkah bagi memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Antara langkah yang paling drastik terpaksa dilakukan sehingga menjejaskan kehidupan seharian kita ialah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia bertujuan memutuskan rantaian penularan Covid-19 dengan fasa pertama dari 18-31 Mac, diikuti fasa kedua dari 1-14 April dan ia dilanjutkan lagi sehingga 28 April akan datang.

Menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, selain golongan peniaga dan pekerja terjejas dengan penguatkuasaan PKP, satu lagi golongan yang perlu diberi perhatian ialah murid-murid di sekolah.

“Sesetengah sekolah kini melakukan persiapan bagi menyambut pembukaan sekolah semula setelah ditutup sejak 18 Mac lalu.

“Tidak kurang juga pihak ibu bapa masih rasa bimbang kemungkinan anak-anak mereka berisiko terkena jangkitan virus berkenaan sebaik sahaja kembali ke sekolah,” tulis akhbar ini.

Menurut akhbar ini, pelaksanaan PKP sesungguhnya membuktikan keberkesanannya menyekat Covid-19 daripada menular secara meluas.

“Biarpun sekolah bakal dibuka suatu hari nanti, namun risiko penularan virus Covid-19 masih boleh berlaku. Itulah yang cukup membimbangkan semua orang termasuk guru, ibu bapa dan murid-murid.

“Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, walaupun PKP ditamatkan suatu hari nanti, Kementerian Pelajaran tidak akan tergesa-gesa membenarkan murid-murid kembali ke sekolah dalam masa terdekat. Keselamatan dan kesihatan murid-murid perlulah diutamakan.”

Kata akhbar ini lagi, terdapat pelbagai reaksi dan pandangan daripada banyak pihak bagaimana sekolah boleh memastikan keadaan murid-murid berada dalam keadaan selamat ketika memasuki kawasan sekolah semula.

Adalah diharapkan, kata akhbar ini, pihak kerajaan dapat merangka perancangan yang rapi dan selamat agar guru dan murid apabila kembali ke sekolah nanti, mampu rasa selamat dan tidak terdedah pada sebarang risiko jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Lidah Pengarang Nanyang Siang Pau pula memuji usaha kerajaan yang amat prihatin dengan masalah dihadapi rakyat jelata ketika penguatkuasaan PKP ketika ini.

“Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada golongan bawahan hinggalah kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat.

“Bagaimanapun, keadaan ekonomi negara masih dalam samar-samar. Setelah pelbagai sektor menghentikan operasi dan aktiviti sejak 18 Mac lalu, negara kita sudah pasti akan menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk.

“Bukan sahaja perniagaan mengalami kerugian yang banyak, malahan jumlah pengangguran dijangka meningkat dengan banyak. Begitu juga ramai pekeja akan menghadapi nasib pemotongan gaji oleh majikan mereka.

“Inilah masalah yang perlu diselesaikan kerajaan. Dalam usaha memerangi covid-19 dengan memanjangkan tempoh penguatkuasaan PKP, pada masa yang sama kebajikan dan kesejahteraan rakyat tidak boleh dipinggirkan,” tulis akhbar itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!