Tiada anak lelaki, harta ke mana?

Ramai pasangan suami isteri dikurniakan anak perempuan sahaja dan tidak mempunyai anak lelaki. Foto hiasan
Ramai pasangan suami isteri dikurniakan anak perempuan sahaja dan tidak mempunyai anak lelaki. Foto hiasan
A
A
A

Soalan:

Saya seorang suri rumah berusia 48 tahun dan mempunyai empat orang anak perempuan. Suami saya memiliki beberapa aset, termasuk sebuah rumah, tanah dan simpanan. Baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa sekiranya suami meninggal dunia tanpa membuat wasiat atau hibah, sebahagian harta pusakanya mungkin tidak diwarisi sepenuhnya oleh saya dan anak-anak perempuan, malah boleh jatuh kepada bapa saudara atau ahli keluarga lelaki sebelah suami.

Saya agak terkejut kerana selama ini saya menyangka harta suami akan menjadi milik isteri dan anak-anak secara automatik. Benarkah keadaan ini boleh berlaku? Bagaimanakah pembahagian faraid dibuat dalam situasi keluarga yang hanya mempunyai anak perempuan? Apakah langkah terbaik yang boleh dilakukan untuk melindungi masa depan keluarga?

Jawapan:

Persoalan ini sebenarnya semakin kerap berlaku dalam masyarakat hari ini. Ramai pasangan suami isteri dikurniakan anak perempuan sahaja dan tidak mempunyai anak lelaki. Namun, masih ramai yang beranggapan bahawa apabila berlaku kematian, keseluruhan harta akan secara automatik menjadi milik pasangan dan anak-anak.

Hakikatnya, dalam sistem perwarisan Islam, harta pusaka tidak terus dibahagikan kepada waris selepas kematian. Sebelum pembahagian faraid dibuat, beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu seperti kos pengurusan jenazah, hutang si mati dan tuntutan harta sepencarian jika ada. Selepas semua tanggungan tersebut dijelaskan, barulah baki harta pusaka diagihkan kepada waris yang berhak.

Sebagai contoh, sekiranya seorang suami meninggal dunia dengan meninggalkan seorang balu, empat orang anak perempuan dan seorang adik lelaki kandung, balu berhak menerima satu perlapan (1/8) daripada harta pusaka, manakala anak-anak perempuan secara bersama menerima dua pertiga (2/3).

Oleh sebab si mati tidak mempunyai anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki, bapa atau datuk yang masih hidup, baki harta yang masih tinggal boleh diwarisi oleh waris asabah mengikut turutan yang ditetapkan syarak. Dalam situasi ini, adik lelaki kandung si mati berhak menerima baki tersebut sebagai waris asabah.

Inilah perkara yang sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pasangan yang hanya mempunyai anak perempuan. Mereka berasa sukar menerima hakikat bahawa sebahagian harta yang dikumpulkan bersama sepanjang perkahwinan berkemungkinan diwarisi oleh waris lelaki lain seperti adik-beradik lelaki atau bapa saudara.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, keadaan ini tidak bermaksud sistem faraid tidak adil. Faraid merupakan ketetapan syarak yang mempunyai kaedah pembahagian tersendiri berdasarkan kedudukan waris yang masih hidup ketika kematian berlaku. Apa yang sering menjadi punca kekeliruan ialah kurangnya kefahaman masyarakat mengenai hukum perwarisan Islam dan kesan pembahagian harta mengikut faraid.

Islam sebenarnya menyediakan sistem perwarisan yang lengkap. Selain faraid, pemilik harta juga diberi ruang untuk membuat perancangan lebih awal melalui instrumen seperti wasiat, hibah dan hibah amanah. Langkah ini penting bagi memastikan kebajikan pasangan dan anak-anak dapat terus dipelihara selepas ketiadaan pemilik harta.

Secara ringkas, hibah ialah pemberian harta oleh seseorang kepada penerima semasa hayatnya. Harta yang telah dihibahkan dengan sempurna tidak lagi menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Bagi pasangan yang hanya mempunyai anak perempuan, hibah boleh menjadi antara instrumen perancangan harta yang sangat penting. Melalui hibah, pemilik harta boleh menentukan lebih awal pemilikan aset tertentu seperti rumah kediaman, hartanah atau simpanan supaya terus memberi manfaat kepada isteri dan anak-anak.

Sebagai contoh, seorang suami boleh menghibahkan rumah kediaman kepada isteri atau anak-anak perempuan semasa hayatnya. Dengan cara ini, rumah tersebut tidak akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka yang perlu diagihkan kepada waris lain selepas kematiannya.

Selain hibah biasa, pasangan suami isteri juga boleh mempertimbangkan hibah amanah. Hibah amanah menggabungkan konsep hibah dan amanah, iaitu seorang pemegang amanah dilantik untuk memegang serta menguruskan harta yang dihibahkan bagi pihak penerima.

Instrumen ini amat sesuai sekiranya penerima hibah terdiri daripada anak-anak yang masih di bawah umur, individu kurang upaya atau waris yang belum berkeupayaan menguruskan harta sendiri. Pemegang amanah akan memastikan harta tersebut diuruskan dengan baik sehingga penerima mencapai umur tertentu atau memenuhi syarat yang ditetapkan.

Melalui hibah amanah, aset dapat dilindungi dan diuruskan dengan lebih teratur. Pada masa yang sama, proses pemindahan manfaat kepada penerima dapat dilaksanakan mengikut kehendak pemberi hibah serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, hibah bukan bertujuan menafikan hak mana-mana waris atau mengetepikan hukum faraid. Sebaliknya, ia merupakan instrumen yang diiktiraf syarak bagi membantu pemilik harta membuat perancangan lebih awal demi menjaga kebajikan keluarga dan mengurangkan risiko pertikaian dalam kalangan waris.

Dalam banyak keadaan, kegagalan membuat perancangan harta menyebabkan balu dan anak-anak berdepan proses pengurusan pusaka yang panjang, kos yang tinggi serta konflik keluarga yang berlarutan. Lebih membimbangkan, nilai harta pusaka yang masih belum dituntut di Malaysia kini dianggarkan melebihi RM90 bilion.

Justeru, pasangan yang hanya mempunyai anak perempuan tidak seharusnya memandang ringan isu ini. Semakin banyak aset yang dimiliki, semakin penting untuk mempunyai pelan perancangan harta yang tersusun dan sesuai dengan keperluan keluarga.

Dapatkan khidmat nasihat daripada perunding perancangan harta yang berkelayakan bagi meneliti kedudukan waris, struktur pemilikan aset dan instrumen yang paling sesuai. Langkah ini bukan sahaja membantu melindungi kepentingan pasangan dan anak-anak, malah dapat memudahkan urusan pengurusan pusaka pada masa hadapan.

Natijahnya, perancangan harta yang dibuat semasa hayat merupakan satu bentuk tanggungjawab terhadap keluarga yang bakal ditinggalkan. Dengan perancangan yang baik, urusan pusaka dapat diselesaikan dengan lebih lancar, sekali gus mengelakkan pelbagai kesulitan dan pertikaian selepas berlakunya kematian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!