Mahu kuasai harta pusaka, anak tergamak bunuh ibu

AKP Galuh Febri Saputra (tengah) menunjukkan barang bukti berkaitan kes pembunuhan ibu kandung di Pamulang, Kota Tangerang Selatan, Banten. Foto ANTARA/HO-Polsek Pamulang.
AKP Galuh Febri Saputra (tengah) menunjukkan barang bukti berkaitan kes pembunuhan ibu kandung di Pamulang, Kota Tangerang Selatan, Banten. Foto ANTARA/HO-Polsek Pamulang.
A
A
A

JAKARTA – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai membunuh ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di Pamulang, Tangerang Selatan pada 19 Mei lalu, dipercayai berpunca daripada perebutan harta pusaka keluarga.

Ketua Polis Pamulang, AKP Galuh Febri Saputra berkata, suspek berusia 36 tahun mengaku melakukan perbuatan itu kerana percaya harta keluarga akan menjadi miliknya selepas kematian ibunya.

Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai K, 64, ditemui meninggal dunia di kediamannya kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan dalam keadaan berlumuran darah.

"Ketika anggota polis tiba di lokasi, mangsa telah dimandikan dan dikafankan.

"Maklumat awal mendakwa mangsa meninggal dunia akibat terjatuh di dalam bilik air, namun siasatan mendapati terdapat beberapa kejanggalan pada tubuh mangsa," katanya pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan kesan kecederaan pada bahagian sisi kepala yang tidak selari dengan dakwaan bahawa mangsa terjatuh.

Susulan itu, polis mengarahkan bedah siasat dijalankan di Hospital Polis Kramat Jati.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk dan tulang dada yang menjadi punca kematian," katanya.

Siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai diserang ketika sedang tidur di dalam biliknya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Galuh, suspek menarik kaki mangsa sehingga wanita itu terjaga sebelum memukul kepala dan tubuhnya berkali-kali.

"Selepas mangsa rebah, suspek menendang serta memijak bahagian dada mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah dan patah tulang," katanya.

Beliau berkata, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan berdepan pertuduhan mengikut peruntukan Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan kesalahan membunuh serta menyebabkan kematian akibat penganiayaan berat. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!