MDM keluar lima kompaun peniaga ingkar PKP

Kerja pembersihan dan sanitasi nyah kuman bagi membasmi wabak Covid-19 dilakukan di Pasar Awam Bandar Marang. Gambar kecil: Mohd Huzairil Nizam Ibrahim
Kerja pembersihan dan sanitasi nyah kuman bagi membasmi wabak Covid-19 dilakukan di Pasar Awam Bandar Marang. Gambar kecil: Mohd Huzairil Nizam Ibrahim
A
A
A

MARANG – Majlis Daerah Marang (MDM) mengeluarkan lima kompaun kepada peniaga daerah ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjalankan perniagaan melebihi waktu dibenarkan.

Yang Dipertua MDM, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, antara alasan diberikan peniaga melanjutkan masa perniagaan walaupun sedar ia satu kesalahan adalah kerana pelanggan masih ada di dalam kedai.

“Kompaun ini kita mula keluarkan selepas minggu ketiga PKP dilaksanakan, kalau lewat dalam 10 minit itu kita boleh abaikan, tapi apabila melebihi setengah jam kita terpaksa kompaun mereka.

“Dalam situasi sekarang, para peniaga patut bertegas tidak membenarkan pelanggan masuk selepas waktu dibenarkan dan minta mereka datang esok,” katanya selepas hadir meninjau operasi nyah kuman di Pasar Awam Bandar Marang di sini hari ini.

Pasukan Bomba dan Penyelamat turut terlibat dalam proses pembersihan dan nyah kuman.
Pasukan Bomba dan Penyelamat turut terlibat dalam proses pembersihan dan nyah kuman.

Program pembersihan dan sanitasi nyah kuman bagi membasmi wabak koronavirus (Covid-19) itu melibatkan anggota MDM, polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan kontraktor kebersihan.

Menurut Mohd Huzairil Nizam, jumlah kompaun dikeluarkan itu masih dianggap angka rendah dan beliau berpuas hati dengan peniaga daerah ini yang dilihat mencapai 99 peratus kepatuhan terhadap perintah PKP.

Beliau berkata, seramai 24 anggota penguatkuasa MDM yang dibahagikan kepada enam kumpulan sentiasa bergerak memantau peniaga dan orang ramai di lima pasar awam daerah ini bagi memastikan mereka mematuhi arahan ketika berurusniaga.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, penguatkuasa MDM turut membantu pasukan keselamatan memantau di taman-taman awam perumahan.

“Kita tengok kedai runcit di taman akur arahan, tapi penduduk sana masih ada pergerakan, mereka masih berbual dengan jiran, main bola dan sebagainya. Kita minta bersurai tapi jika ada kumpulan besar yang degil kita akan panggil polis.

“Rondaan kita di kawasan pantai juga mendapati masih ada penduduk khususnya remaja yang mandi laut, memancing. Jadi kita minta orang ramai tetap patuh PKP supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan segera,” katanya.