LIMA ’23: KPDN keluar 39 notis kepada peniaga

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan sejumlah 39 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dalam Ops 516 setakat Isnin lepas sejak 16 Mei sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, notis itu dikeluarkan selepas pihak KPDN membuat 432 pemeriksaan di premis berkaitan termasuk kedai makan dan kedai runcit di sekitar Langkawi sehingga Isnin lepas dalam operasi pada 16 hingga 30 Mei itu.

"Satu tindakan kes di bawah Akta Timbang Sukat 1972 telah diambil ke atas peniaga kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Salahuddin berkata, KPDN komited melaksanakan penguatkuasaan Ops 516 secara konsisten dan berimbang oleh pegawai penguat kuasa kementerian itu bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang supaya tiada implikasi negatif kepada imej negara dari aspek perdagangan domestik sepanjang LIMA ’23 berlangsung.

"Tempoh pelaksanaan OPS 516 selama 15 hari itu memfokuskan kepada aspek harga dan catut, bekalan, alat timbang dan sukat, barang tiruan dan cetak rompak serta berkaitan halal,” katanya.

Beliau berkata, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada pihak KPDN sekiranya mendapati ada peniaga tidak mematuhi undang-undang berkaitan antaranya melalui WhatsApp 019-2794317/019-8488000 atau portal aduan http://eaduan.kpdn.gov.my atau pusat panggilan 1-800-886-800. - Bernama