Kerajaan Perak proaktif bantu rakyat

Bantuan Kotak Makanan dihantar menggunakan pelbagai cara termasuk bot untuk memastikan penduduk di kawasan luar bandar seperti masyarakat orang asli tidak terputus bekalan makanan.
Bantuan Kotak Makanan dihantar menggunakan pelbagai cara termasuk bot untuk memastikan penduduk di kawasan luar bandar seperti masyarakat orang asli tidak terputus bekalan makanan.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam usaha membantu rakyat yang terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan beberapa inisiatif secara berperingkat sejak awal pelaksanaan PKP dengan tumpuan bukan sahaja diberikan kepada kumpulan barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) tetapi kepada semua rakyat di negeri itu.

Antara inisiatif awal yang diumumkan ialah Bantuan Kotak Makanan kepada kumpulan sasar termasuk masyarakat orang asli dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.67 juta.

Sebanyak RM6.4 juta pula diperuntukkan kerajaan negeri untuk Bantuan Penjaja dan Peniaga Kecil dengan pemberian RM500 secara one-off kepada seramai 12,781 penerima yang layak.

Kerajaan negeri turut memberikan bantuan potongan sewa gerai pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan jumlah peruntukan RM2.2 juta.

Ahmad Faizal (dua dari kiri) melawat ICC pertama di Malaysia yang diperkenalkan untuk membolehkan kerajaan negeri berhubung dengan rakyat Perak yang menjalani kuarantin akibat Covid-19.
Ahmad Faizal (dua dari kiri) melawat ICC pertama di Malaysia yang diperkenalkan untuk membolehkan kerajaan negeri berhubung dengan rakyat Perak yang menjalani kuarantin akibat Covid-19.

Ahmad Faizal turut mengumumkan penangguhan pembayaran dari Mac hingga Mei 2020 untuk sewa beli Rancangan Perumahan Awam dan bayaran sewa Skim Pertapakan Kemudahan Asas.

Bagi Pinjaman Pendidikan Tinggi Negeri Perak, pengecualian bayaran balik selama tiga bulan bermula Mac 2020 diberikan kepada seramai 800 peminjam dengan nilai keseluruhan RM2.9 juta.

Artikel Berkaitan:

Bantuan pengecualian bayaran balik Tabung Usahawan dan Mikrokredit juga diberikan kepada 775 peminjam selama tiga bulan dengan kos RM811,000.

Kerajaan negeri turut menyalurkan Bantuan Perkapita Maahad Tahfiz Negeri, sekolah tahfiz dan pondok swasta berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang melibatkan 6,012 penerima.

Kesemua 59 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima bantuan RM40,000 bagi setiap pusat khidmat wakil rakyat.

Petugas barisan hadapan juga tidak dilupakan menerusi bantuan makanan dan peralatan kepada Jabatan Kesihatan Perak dan hospital bernilai RM1.76 juta.

Bantuan sama turut diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkata Tentera Malaysia (ATM) Kem 2 Briged, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan petugas PBT dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.27 juta.

Kerajaan Perak turut membuka tiga Pusat Isolasi iaitu di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai dan terbaru di Institut Tadbiran Islam Perak.

Selain itu, Pusat Panggilan Pengasingan (ICC) pertama di Malaysia diperkenalkan bagi membolehkan kerajaan negeri berhubung dengan rakyat Perak yang menjalani kuarantin.

Bantuan disalurkan kepada penjaja dan peniaga kecil oleh Kerajaan Perak melegakan golongan itu yang kehilangan pendapatan harian sepanjang tempoh PKP.

Chan Men Yen, 31, berkata, bantuan tersebut membantu meringankan bebannya setelah hampir sebulan tidak boleh berniaga.

Men Yen yang sebelum ini menjual sarapan pagi, lega dengan pemberian bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil di Perak oleh kerajaan negeri.
Men Yen yang sebelum ini menjual sarapan pagi, lega dengan pemberian bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil di Perak oleh kerajaan negeri.

Dia yang meniaga makanan di Jalan Pasir Puteh di Ipoh berkata, tempoh PKP amat mencabar kerana terpaksa menyara keluarga menggunakan wang simpanan.

“Saya baru lapan bulan berniaga. Sebelum ini saya makan gaji, tak sangka pula berlaku PKP. Mujur ada simpanan sikit dan terpaksalah kami sekeluarga berjimat.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana bagi bantuan RM500 kepada penjaja dan peniaga kecil macam saya. Dapat juga ringankan beban saya sebagai ketua keluarga,” katanya.

Sementara itu, peniaga pasar malam, Anuar Ahya, 32, berkata, bantuan RM500 yang diberikan kerajaan kepada peniaga kecil sepertinya sangat bermakna.

“Saya menjual racun serangga di pasar malam di Manjung, Bota, Kampung Gajah dan pasar Memory Lane di Ipoh.

“Bila tempoh PKP ini, memang tak boleh berniaga dan hilang sumber pendapatan. Syukur ada bantuan kerajaan ini,” katanya.

Bantuan Penjaja dan Peniaga Kecil diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi membantu seramai 12,781 peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiap penjaja dan peniaga kecil yang layak diberikan RM500 secara one-off dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM6.4 juta.