Gelombang tsunami tiba di Jepun susulan gempa bumi Filipina

Gelombang tsunami tiba di Okinawa dan beberapa kawasan lain di Jepun pada Isnin susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda luar pesisir selatan Filipina.
Gelombang tsunami tiba di Okinawa dan beberapa kawasan lain di Jepun pada Isnin susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda luar pesisir selatan Filipina.
A
A
A

TOKYO - Gelombang tsunami tiba di Okinawa dan beberapa kawasan lain di Jepun pada Isnin susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda luar pesisir selatan Filipina, menurut pihak berkuasa Jepun dan Amerika Syarikat (AS), lapor Kyodo News.

Agensi Meteorologi Jepun dalam sidang media berkata, tsunami kecil dikesan di pulau utama Okinawa kira-kira jam 12.18 tengah hari selepas agensi itu mengeluarkan nasihat tsunami bagi kawasan pantai Pasifik di bahagian timur, barat dan selatan negara itu.

Gelombang tsunami setinggi 20 sentimeter turut direkodkan di Pulau Chichijima di Kepulauan Ogasawara di Lautan Pasifik, kira-kira 1,000 kilometer di selatan pusat Tokyo, sekitar jam 1.46 tengah hari.

Sebelum itu, agensi berkenaan memberi amaran bahawa tsunami setinggi sehingga satu meter boleh melanda Pulau Miyako, Kepulauan Yaeyama di Okinawa dan beberapa kawasan lain.

Nasihat tsunami itu meliputi kawasan dari Wilayah Ibaraki berhampiran Tokyo hingga Okinawa, wilayah paling selatan Jepun.

Menurut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku kira-kira 26 kilometer di barat daya Kablalan, Filipina pada kedalaman 55.2 kilometer sekitar jam 7.38 pagi waktu tempatan.

Pada Disember 2023, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter turut melanda kawasan yang sama, menurut USGS.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, menerusi media sosial bahawa beliau telah mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

Lebih 195,000 orang di 10 wilayah termasuk Chiba, Kochi dan Okinawa digesa untuk berpindah pada satu ketika, menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana. - Bernama/Kyodo

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!