Filipina terus bergegar

MANILA – Lebih 1,000 gempa susulan direkodkan sehari selepas gegaran berkekuatan 7.8 skala Richter melanda luar pesisir Sarangani di Filipina.
Data dikeluarkan Institut Vulkanologi dan Seismologi (Phivolcs) pada Selasa menunjukkan gegaran itu berukuran 1.3 hingga 6.7 skala Richter, sekali gus menunjukkan aktiviti seismik masih berterusan di lokasi gempa.

Gempa kuat yang berlaku di luar pantai Maasim, Sarangani pada jam 7.37 pagi (waktu tempatan) pada Isnin turut mencetuskan gelombang tsunami di beberapa kawasan termasuk Sarangani, Sultan Kudarat dan Zamboanga City serta menyebabkan kerosakan ketara pada infrastruktur, bekalan kuasa elektrik dan komunikasi di sebahagian kawasan Mindanao.
Phivolcs memberi amaran gempa susulan dijangka berlarutan selama lebih sebulan.

Angka korban juga telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 37 orang manakala ratusan dilaporkan cedera.
Menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC), lebih 19,000 keluarga terjejas bencana tersebut dan kira-kira 5,000 famili kini berlindung di pusat pemindahan sementara.
Pengawal Pantai Filipina turut mengerahkan kira-kira 150 anggota penyelamat ke General Santos City untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan menjejaki individu yang hilang.

Bencana itu kerap berlaku di Filipina berikutan kedudukan negara itu di Lingkaran Api Pasifik iaitu jaluran sesar seismik yang mengelilingi Lautan Pasifik, lokasi berlakunya sebahagian besar gempa bumi dunia. - Agensi
Info
GEMPA KUAT GEGAR MANILA
15 Disember 2019: Gempa berukuran 6.8 skala Richter melanda Davao del Sur di Mindanao dan mengorbankan 13 orang. Ia merupakan gempa keempat melebihi magnitud 6.0 yang menggegar Mindanao sejak Oktober tahun tersebut.
27 Julai 2022: Gegaran 7.0 skala Richter melanda Pulau Luzon di utara Filipina dan meragut 11 nyawa.
17 November 2023: Gempa berukuran 6.7 skala Richter di luar pesisir Mindanao menyebabkan sembilan maut. Bencana itu turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan kerosakan struktur di kawasan terjejas.
2 Disember 2023: Gempa kuat 7.6 skala Richter melanda luar Mindanao, mengakibatkan ramai penduduk kampung melarikan diri pada waktu tengah malam kerana panik. Sekurang-kurangnya tiga dilaporkan terkorban.
30 September 2025: Gempa bumi berukuran 6.9 skala Richter menggegar Bandar Bogo di wilayah Cebu. Kejadian itu mengejutkan penduduk kerana garis sesar Teluk Bogo dikatakan tidak aktif selama lebih 400 tahun. Gempa cetek berlaku ketika penduduk sedang nyenyak tidur itu meragut 72 nyawa dan menyebabkan ratusan yang lain cedera serta kemusnahan meluas.
10 Oktober 2025: Dua gempa kuat di luar pesisir menggegarkan wilayah Davao Oriental dalam tempoh selang beberapa jam. Gegaran pertama berukuran 7.4 skala Richter menyebabkan tujuh orang terkorban. Gegaran kedua berukuran 6.8 skala Richter turut mencetuskan amaran tsunami tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

