[VIDEO] Enggan diperiksa, warga asing bergelut dengan pegawai JIM

A
A
A

SELAYANG – "Kenapa periksa saya? Saya datang cuma mahu beli makanan."

Itu reaksi seorang lelaki warga asing yang mempersoalkan tindakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor sebelum cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan dalam Ops Kutip di tapak pasar malam Jalan Sri Selayang di sini pada Ahad.

Cubaan lelaki berusia lingkungan 30-an itu bagaimanapun gagal apabila dia berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan pegawai bertugas.

Dalam operasi sama, seorang wanita warga asing turut cuba meraih simpati apabila menangis ketika ditahan untuk pemeriksaan.

Drama air mata itu berlarutan hampir 10 minit apabila wanita berkenaan mendakwa terlupa membawa pasport bersamanya.

Helah itu bagaimanapun terbongkar selepas pemeriksaan lanjut mendapati pasport miliknya telah tamat tempoh sejak lebih setahun lalu.

Sementara itu, JIM Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan operasi yang bermula kira-kira jam 6 petang itu dijalankan di beberapa lokasi sekitar Selayang yang dipercayai menjadi tumpuan warga asing.

Seramai 59 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 39 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Seramai 59 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 39 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lokasi pertama melibatkan kawasan tapak pasar malam Batu Caves.

"Seramai 59 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 39 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan," katanya pada Ahad.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.

Menurutnya, operasi kemudian diteruskan ke sebuah restoran di Selayang Baru yang dipercayai menggajikan warga asing tanpa dokumen sah.

Kesemua individu warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Kesemua individu warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Hasil pemeriksaan di lokasi kedua mendapati empat lelaki warga asing dipercayai bekerja di premis berkenaan.

"Kesemua individu yang merupakan warga India dan Pakistan itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Jelasnya, operasi berkenaan dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan yang dijalankan secara berterusan bagi mengesan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta majikan yang melanggar peraturan imigresen.

Menurut kenyataan itu, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

"JIM Selangor akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kebanjiran PATI serta memastikan majikan mematuhi undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

"Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat kepada pihak imigresen sekiranya mengesyaki terdapat warga asing atau majikan yang melakukan pelanggaran undang-undang di kawasan masing-masing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!