Pelarian Rohingya biadab didakwa pijak bendera Malaysia

MELAKA - Penduduk tempatan yang berjiran dengan warga Rohingya di Jalan Pulau Senang 3 meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa terdapat dalam kalangan pelarian terbabit yang bertindak memijak Jalur Gemilang yang dipasang sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Seorang penduduk, Yusriza Yahya, 40 berkata, kejadian itu merupakan antara pengalaman paling menyedihkan yang tidak dapat dilupakannya sepanjang tiga tahun menetap di kawasan berkenaan.
“Sempena Hari Kemerdekaan, saya pasang bendera di luar rumah, tetapi saya lihat ia dipijak oleh anak-anak mereka. Saya menangis.
“Kita beri mereka tinggal dengan baik, tetapi mereka buat macam ini. Sebagai rakyat Malaysia, saya harap ada tindakan terhadap mereka. Kalau boleh halau mereka lagi bagus,” katanya.
Dia ditemui semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem ke kawasan berkenaan bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), yang turut dihadiri Datuk Bandar, Datuk Shadan Othman serta wakil polis.

Yusriza berkata, pelbagai masalah sosial didakwa berlaku di kawasan itu termasuk pergaduhan, mabuk dan gangguan bunyi bising.
Malah, beliau mendakwa kenderaannya pernah dirosakkan, namun masih menetap di situ kerana kadar sewa rumah yang rendah.
“Sewa rumah hanya RM400 tapi dibayar oleh MAIM (Majlis Agama Islam Melaka). Rumah ini saja yang mampu didiami susulan saya sakit dan suami pula sudah berusia.
“Walaupun tidak selesa tinggal bersama mereka, apa yang kami boleh buat hanyalah menjaga anak-anak dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Man Yusof, 64, turut mendakwa sebahagian daripada golongan berkenaan bersikap ‘besar kepala’ dan tidak menghormati penduduk tempatan.
“Mereka selalu minum dan bergaduh. Bila ditegur, mereka kata mereka ada kad UNCHR.
“Kalau mereka menjaga kebersihan dan berbudi bahasa, tidak mengapa tetapi keadaan yang berlaku sekarang membuatkan penduduk tidak selesa.
“Saya setuju jika pihak berkuasa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

