Putin beri amaran, Rusia sedia perang dengan Eropah

Putin. Foto : AFP
Putin. Foto : AFP
A
A
A

MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa negaranya bersedia menghadapi peperangan dengan Eropah sekiranya ketegangan terus meningkat, namun menegaskan Moscow tidak berhasrat mencetuskan konflik tersebut.

Menurut Reuters, kenyataan itu dibuat Putin dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak Rusia-Afrika di Moscow pada Khamis, ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap kemungkinan konflik ketenteraan antara Rusia dengan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Kami bersedia untuk berperang dengan Eropah, tetapi kami tidak mahukannya. Jika ada pihak yang menginginkannya, mereka perlu bersedia.

“Namun, mereka masih belum mencapai matlamat untuk menyebabkan kekalahan strategik terhadap Rusia. Saya tidak fikir perkara itu dapat dicapai menjelang 2030.

“Jika keadaan menjadi terlalu buruk, tiada siapa akan menang. Jangan sesekali melupakan perkara itu,” katanya.

Putin mengeluarkan kenyataan tersebut ketika negara Eropah meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan berikutan kebimbangan terhadap ancaman keselamatan yang dikaitkan dengan Rusia.

Sebelum ini, Setiausaha Pertahanan Britain, Wes Streeting memberi amaran bahawa negaranya perlu bersedia menghadapi kemungkinan peperangan dalam tempoh kira-kira 1,000 hari.

Menurut Streeting, keupayaan ketenteraan dan ekonomi perang pihak yang dianggap sebagai musuh Britain berpotensi membolehkan serangan dilakukan menjelang 2030.

Beliau menegaskan bahawa persiapan pertahanan perlu diperkukuh bersama negara sekutu bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Artikel Berkaitan:

Ketegangan turut meningkat susulan beberapa insiden keselamatan di Eropah, termasuk pencerobohan ruang udara oleh dron dan dakwaan kegiatan sabotaj terhadap kemudahan ketenteraan.

Jerman sebelum ini meningkatkan tahap amaran ancaman sabotaj susulan beberapa kejadian yang disyaki mempunyai kaitan dengan Rusia.

Bagaimanapun, Moscow menafikan beberapa dakwaan penglibatannya dalam insiden berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Putin menyatakan sokongan terhadap usaha memulihkan hubungan diplomatik dengan negara Eropah selepas mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Finland, Alexander Stubb dan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store.

Menurutnya, Rusia terbuka kepada sebarang langkah yang bertujuan memulihkan hubungan dua hala serta kerjasama dengan negara Eropah.

“Kami menyokong sebarang tindakan yang bertujuan memulihkan hubungan sepenuhnya dengan negara Eropah,” katanya.

Putin turut memberi amaran supaya ketegangan di Laut Baltik tidak berkembang menjadi krisis seperti yang berlaku di Selat Hormuz susulan konflik di Asia Barat.

Beliau menegaskan Rusia tidak mahu laluan perkapalan di kawasan berkenaan terganggu, namun Moscow akan bertindak balas terhadap sebarang cabaran keselamatan.

Kenyataan itu dibuat ketika hubungan Rusia dengan negara Barat terus tegang akibat peperangan di Ukraine serta kebimbangan mengenai kemungkinan konflik yang lebih meluas di Eropah.

Walaupun Putin menegaskan negaranya tidak mahu berperang, amaran tersebut memperlihatkan risiko peningkatan ketegangan sekiranya usaha diplomatik gagal meredakan pertikaian antara kedua-dua pihak. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!