'Sarimah mahu fokus kerjaya, pertanyaan tak berkaitan boleh rujuk pihak terlibat' - Peguam

SHAH ALAM - Peguam mewakili selebriti, Che Puan Sarimah Ibrahim menegaskan bahawa anak guamnya tidak berada dalam kedudukan yang sesuai untuk mengulas atau menjawab sebarang pertanyaan berhubung isu-isu di luar bidang kuasa mahupun tanggungjawab profesional beliau.
Tetuan Arif Azmi & Co dalam kenyataan rasmi berkata, anak guamnya juga memohon agar sebarang pertanyaan atau permintaan penjelasan mengenai perkara tidak berkaitan dengan beliau dirujuk kepada pihak yang terlibat secara langsung, bukannya tuan empunya badan mahupun pengurusan bagi menghormati privasi dan fokus kerja.
Tambah kenyataan tersebut, meskipun anak guamnya menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, pelakon itu berharap perbincangan di media sosial dapat dilakukan secara berhemah dan berasaskan fakta tanpa unsur serangan peribadi terhadap mana-mana pihak.
“Beliau percaya ruang digital seharusnya menjadi tempat yang harmoni buat semua pengguna.
“Anak guam kami menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas doa, sokongan dan kata-kata semangat yang berterusan daripada orang ramai.
“Beliau berhasrat untuk terus memberikan tumpuan penuh kepada kerjaya dan usaha-usaha murni yang membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya pada Rabu.
Tetuan Arif Azmi & Co bertindak mewakili Sarimah berhubung dengan kedudukan profesional dan pendirian aktres itu mengenai isu-isu semasa yang sedang tular ketika ini.
Pihak peguam turut memaklumkan, fokus utama Sarimah buat masa sekarang adalah komitmen kerjayanya yang padat merangkumi pelbagai sesi penggambaran, majlis rasmi, kempen jenama serta projek-projek seni.
Kata peguam lagi, Sarimah dalam masa sama terus memberikan dedikasi yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha advokasi kesihatan mental melalui inisiatif Empati.
“Sedia maklum anak guam kami menceburi industri hiburan dan media selama hampir 29 tahun.
“Sepanjang tempoh tersebut, beliau membina reputasi sebagai seorang personaliti profesional yang berintegriti tinggi dan sentiasa menjauhkan diri daripada sebarang kontroversi.
“Beliau juga amat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua pihak dan komited untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh rasa hormat,” ujarnya.
Pada Isnin lepas, Sarimah mengarahkan peguam mewakilinya untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu demi melindungi reputasi, kesejahteraan peribadi dan kepentingan profesional beliau.
Ia termasuk pemeliharaan bahan bukti dan pemantauan terhadap penerbitan, perkongsian atau penerbitan semula kandungan berunsur fitnah yang berterusan.
Tindakan itu dibuat selepas beberapa pengguna media sosial didakwa memuat naik hantaran berunsur fitnah, tidak berasas dan berniat jahat terhadapnya dan keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
