Dikejar 30km, dua penjenayah ditahan

Dua lelaki berusia 25 dan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Dua lelaki berusia 25 dan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah berjaya ditahan selepas polis mengejar kereta dinaiki suspek sejauh kira-kira 30 kilometer dalam kejadian dekat Batu Dua di sini pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian jam 2.45 pagi, suspek yang berusia 25 dan 30 tahun yang menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna merah memecut laju ketika dihampiri anggota polis ke arah Taman Kempas sebelum ke Sungai Layar dan Semeling.

"Ketika unit kereta peronda (MPV) polis melakukan rondaan, anggota polis melihat sebuah kereta diparkir di bahu jalan berhampiran dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Jalan Kuala Ketil dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik dihampiri, secara tiba-tiba, suspek terus memecut laju dan bertindak agresif.

"Hasil bantuan pasukan polis lain, kedua-dua suspek berjaya ditangkap berdekatan dengan Pondok Polis Semeling," katanya.

Antara alatan pecah rumah yang ditemui dalam kereta dinaiki suspek.
Antara alatan pecah rumah yang ditemui dalam kereta dinaiki suspek.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam kereta dinaiki suspek mendapati terdapat beberapa peralatan pecah rumah di bahagian bonet antaranya tukul besi, pemotong besi dan kuku kambing.

"Kita juga menemui satu unit mesin gergaji mudah alih dan empat unit alat pemadam api," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil semakan, pihaknya mendapati kenderaan dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 28(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana memiliki peralatan pecah rumah.

"Kedua-dua suspek berusia 25 dan 30 tahun itu direman enam hari sehingga 15 April depan," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kegiatan curi kabel dan pecah rumah sekitar Seberang Prai Utara, Kulim dan Sungai Petani.

"Suspek berusia 30 tahun dari Selangor dikesan mempunyai lapan rekod jenayah lampau antaranya pernah terlibat kegiatan pengedaran dadah, curi dan menghalang tugas polis manakala suspek kedua pernah terlibat kes curi dan menipu," katanya.