Covid-19: Mangsa korban seluruh dunia melebihi 90,000

Dunia kini umpama berada di medan peperangan untuk melawan koronavirus (Covid-19) yang semakin mengganas
Dunia kini umpama berada di medan peperangan untuk melawan koronavirus (Covid-19) yang semakin mengganas
A
A
A

BEIJING- Dunia kini umpama berada di medan peperangan untuk melawan koronavirus (Covid-19) yang semakin mengganas, virus maut itu sudah merebak ke lebih 200 negara dan wilayah, lapor agensi berita Xinhua.

Di WASHINGTON, ujian klinikal untuk menilai keselamatan dan keberkesanan hydroxychloroquine, ubat antimalaria sudah bermula, dalam usaha mencari penawar penyakit Covid-19, menurut Institut Kesihatan Negara (NIH) Amerika Syarikat pada Khamis.

Peserta pertama telah mendaftar untuk menyertai ujian klinikal itu di Vanderbilt University Medical Center, Tennessee.

Di BRUSSELS pula menyaksikan Menteri Kewangan Eurogroup pada Khamis bersetuju mengenai pakej kewangan bernilai setengah trilion euro untuk membendung wabak itu.

Di NEW YORK, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyeru semua negara anggota Majlis Keselamatan bersatu bagi mendepani pandemik COVID-19.

"Penglibatan Majlis Keselamatan penting untuk mengurangkan implikasi keamanan dan keselamatan akibat pandemik Covid-19," katanya dalam satu taklimat secara maya.

"Sudah tentu perpaduan amat penting pada masa yang mencemaskan ini."

Di GENEVA, kadar kematian akibat Covid-19 dianggarkan 10 kali lebih tinggi berbanding influenza, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Artikel Berkaitan:

Bercakap pada taklimat Misi Covid-19 dari Geneva pada Khamis, beliau berkata setakat ini, lebih 1.3 juta orang dijangkiti dan hampir 80,000 terkorban.

Ujarnya, pandemik ini adalah lebih teruk daripada krisis kesihatan, ia memerlukan seluruh kepemimpinan kerajaan dan masyarakat bersama-sama berganding bahu untuk memerangi wabak itu.

Di LONDON, Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Khamis dipindahkan ke wad selepas beberapa hari ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Menurut seorang jurucakap, perdana menteri itu akan terus dipantau dalam fasa awal pemulihan, selepas dijangkiti Covid-19.

Di NEW YORK, pada Khamis petang Johns Hopkins University menerusi data terkini mendedahkan angka korban Covid-19 melebihi 90,057 orang di seluruh dunia.-Bernama