[VIDEO] 'Lebih 8 jam perjalanan, redah curam, lintas sungai' - Orang Asli dedah laluan getir ke Gunung Batu Putih

TAPAH – Laluan ke puncak Gunung Batu Putih yang menjadi lokasi kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, bukan sahaja mencabar, malah memerlukan tempoh perjalanan sehingga lapan jam bergantung kepada pengalaman seseorang.
Gambaran itu dikongsikan penduduk Orang Asli dari Kampung Ampang Woh yang mula memasuki kawasan hutan seawal jam 5 pagi hari ini (Rabu) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Seorang daripada mereka, Suhaimi Bah Kakdak, 55, berkata, bagi individu yang tidak arif, tempoh perjalanan ke puncak gunung boleh menjangkau sehingga 12 jam.

“Memang laluan itu sukar kerana banyak lubang, selain perlu melalui tebing dan kawasan curam. Kita juga perlu merentasi beberapa sungai walaupun paras airnya tidak terlalu dalam.
“Kalau orang yang tidak biasa menggunakan laluan ini, perjalanan akan menjadi lebih lambat, namun bagi kami yang pernah melaluinya, kami tahu arah dan cara untuk bergerak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, laluan yang digunakan akan melalui kawasan perkampungan Orang Asli seperti Kampung Lubuk Petai dan Kuala Telum yang menjadi antara akses ke puncak Gunung Batu Putih.

Menurutnya, laluan tersebut merupakan trek biasa digunakan penduduk Orang Asli untuk mencari hasil hutan, namun tidak sesuai untuk pendaki tanpa pengetahuan mendalam.
“Kami tahu laluan ini kerana sering digunakan untuk mencari hasil hutan. Dua bulan lalu, saya bersama anak lelaki saya keluar masuk kawasan ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih
'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan
Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat
Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda
Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan
Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon memaklumkan, lebih 22 penduduk Kampung Orang Asli Ampang Woh menyertai misi SAR di Gunung Batu Putih dengan memfokuskan kawasan di luar trek utama antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.
Seorang lagi penduduk, Rizuan Suhaimi, 25, berkata, pengalaman keluar masuk hutan sejak kecil menjadi kelebihan buat dirinya untuk menelusuri kawasan berkenaan dalam membantu operasi SAR.

Katanya, persiapan rapi dilakukan termasuk menyediakan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
“Kami bawa bekalan secukupnya kerana tidak tahu berapa lama akan berada di dalam hutan,” katanya.
Menurut Rizuan, faktor masa dan keletihan perlu diambil kira kerana perjalanan yang panjang dan mencabar boleh memberi kesan kepada fizikal pasukan.
“Kita bukan berjalan di laluan biasa, banyak bukit perlu didaki. Jadi memang mengambil masa lama untuk sampai ke puncak,” katanya.
Sementara itu, Bah Benang Bah Boklay, 52, berkata, sebagai penduduk asal di kawasan tersebut, mereka berasa bertanggungjawab untuk membantu operasi selepas diminta pihak berkuasa.
“Kasihan mangsa yang sudah berhari-hari berada di dalam hutan. Jika kami menemuinya, kami akan membawa keluar dan menyerahkannya kepada polis atau bomba,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

