Utih jadi peneman setia Nur Ammara, keluarga tolak tawaran RM600

Keakraban Nur Amara dan Utih dapat perhatian ramai.
Keakraban Nur Amara dan Utih dapat perhatian ramai.
A
A
A

SHAH ALAM – Gelagat manja seekor angsa jantan bersama seorang kanak-kanak dari Kupang, Baling, Kedah mengundang perhatian ramai kerana hubungan akrab antara mereka.

Ibu kepada kanak-kanak tersebut, Zuraida Yaacob, 42, berkata, anaknya, Nur Ammara Sofiya, 9, sememangnya rapat dengan angsa peliharaan mereka yang diberi nama Utih.

Menurutnya, mereka sekeluarga memelihara Utih sejak kecil dan angsa berusia 10 bulan itu sangat manja terutama dengan Nur Ammara serta bapanya.

“Dalam video itu, Utih nampak seolah-olah ‘menangis’, tetapi bukan sebab kena marah. Kakak (Nur Ammara) cuma bercakap dan bertanya dekat Utih mengapa main lumpur.

“Kalau dengan kakak dan abahnya, Utih memang akan datang dekat. Bila kakak peluk, lehernya terus jadi lembik, kemudian bersandar dekat bahu dan manja sangat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Zuraida, keletah Utih turut menarik minat ramai sehingga ada yang menawarkan harga tinggi untuk membeli angsa tersebut.

“Memang ramai nak beli Utih. Ada yang sanggup bayar sampai RM500 hingga RM600, tetapi kami tak jual sebab dah terlalu sayang,” ujarnya.

Menurutnya, mereka sebelum ini turut memelihara beberapa ekor angsa lain yang jinak, namun Utih paling rapat dengan Nur Ammara.

Zuraida berkata, murid tahun tiga itu biasanya akan meluangkan lebih banyak masa bermain dengan Utih pada hari cuti memandangkan jadual persekolahan agak padat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!