'Terima kasih Downtown Parit Raja'

Peniaga Downtown Parit Raja sewaktu menerima wang sumbangan Ahli Parlimen Sri Gading, Dr Shahruddin Md Salleh.
Peniaga Downtown Parit Raja sewaktu menerima wang sumbangan Ahli Parlimen Sri Gading, Dr Shahruddin Md Salleh.
A
A
A

BATU PAHAT - Seramai 24 peniaga yang berniaga di 29 lot perniagaan di Downtown Parit Raja, di sini, akur dengan tindakan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) yang merobohkan premis perniagaan mereka pada 7 Januari lalu.

Premis perniagaan yang dirobohkan.
Premis perniagaan yang dirobohkan.

Salah seorang peniaga, Mohd Salleh Buang, 50, berkata, dia yang mengusahakan perniagaan barangan elektronik sejak kawasan tersebut dibuka pada 2015 menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan berlapang dada.

"Sedih memang sedih kerana saya berniaga di sini (Downtown Parit Raja) hampir lima tahun dan di sini juga saya mula bertapak dan bertatih di dalam dunia perniagaan, dari tak tahu berniaga sampai ada ilmu asas berniaga.

"Boleh dikatakan 100 peratus sumber pendapatan saya hanya dengan berniaga di sini dan bila jadi macam ini, terpaksalah saya fikir cara lain untuk berniaga sama ada hendak menyewa premis perniagaan lain di sekitar kawasan ini," katanya.

Dia ditemui semasa Majlis Penyerahan Wang Ihsan kepada peniaga Downtown Parit Raja oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Dr Shahruddin Md Salleh yang disampaikan pegawai khasnya, Noor Khalim Sakib di Downtown Parit Raja, semalam.

Turut hadir, Ketua Kampung Parit Raja, Ungku Zahar Ungku Khalid; Ahli Majlis MPBP Zon Pekan Parit Raja, Alamshah Abdul Latiff dan Pengerusi Penaja dan Peniaga Kecil Melayu Gemilang Kawasan Sri Gading, Jeffri Mansor.

Menurutnya, selepas penguatkuasa MPBP menampal notis untuk merobohkan kedai di kawasan tersebut pada 6 Januari lalu, dia terpaksa mengemas dan mengosongkan barang-barangan di dalam kedainya sehingga jam 4 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, ada beberapa barangan yang tak dapat diselamatkan seperti cermin kedai dan sewaktu kerja-kerja merobohkan dilakukan pada pagi 7 Januari lalu, saya tak sanggup nak tengok kerana terlalu sebak.

"Selepas ini saya harap pemilik tanah mungkin dapat duduk berbincang bersama MPBP untuk membangunkan semula kawasan ini mengikut prosedur yang telah ditetapkan kerana kawasan ini memang sangat strategik untuk berniaga kerana kami sudah ada pelanggan tetap," katanya.

Bagi rakannya, Mohd Roslihin Munajat, 42, berkata, dia yang berniaga kedai makan di kawasan tersebut terpaksa menyewa dua lori untuk mengangkut peralatan-peralatan yang terdapat di kedainya selepas notis merobohkan premis berkenaan ditampal.

"Walaupun tarikh notis tersebut dikeluarkan pada 1 Januari lalu, notis berkenaan hanya ditampal di kedai kami pada 6 Januari jam 11 pagi.

"Sekiranya notis ini ditampal lebih awal, kami (peniaga) tidak perlu tergopoh-gopoh mengemas dan kami juga akur kerana tindakan ini diambil berdasarkan perintah mahkamah dan sekarang tidak guna hendak menuding jari di antara satu sama lain," katanya.

Menurutnya, dia juga sudah mengenal pasti beberapa lokasi di sekitar Parit Raja untuk dijadikan lokasi baharu untuk berniaga dan sekiranya kawasan ini dibangunkan semula mengikut kebenaran MPBP, dia akan menjadi individu pertama yang menempah premis tersebut.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, proses merobohkan struktur bangunan di tanah persendirian tersebut diambil selepas mendapati satu deret bangunan gerai yang mengandungi 29 pintu dengan binaan kekal telah dibina tanpa mendapat kelulusan daripada MPBP.

Menurutnya, kes untuk tapak downtown ini juga sudah difailkan di dalam Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 2016 dan beliau juga dimaklumkan dalam tempoh lima tahun ini, pemilik tanah gagal berjumpa bersama MPBP untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah ini.