X

Kindly register in order to view this article
!

170kg minyak gagal diseludup

Azizi (kanan) menunjukkan minyak yang dijumpai dalam kenderaan tersebut.
A
A

TANAH MERAH - Sebuah kenderaan yang membawa bersama 170 kilogram (kg) minyak masak seludup ditahan di Pengkalan Wakaf Zin, Ayer Lanas, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam tersebut, kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai membawa 10 kotak minyak masak untuk diseludup ke negara jiran.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, lelaki terbabit bagaimanapun berjaya melarikan diri dan meninggalkan keretanya itu di kawasan kelapa sawit semasa ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

"Minyak masak tersebut dipercayai untuk pasaran negara jiran iaitu Thailand memandangkan harga yang dikenakan boleh mencecah RM51 hingga RM60 sekotak sedangkan kalau di Malaysia, satu kotak boleh dapat dengan harga RM42.50 sekotak dan nilai rampasan keseluruhan kali ini berjumlah RM2,000.

"Kami juga mengesyaki lelaki tersebut adalah suspek sama dengan kes rampasan sebuah kenderaan yang menyeludup minyak pada 7 Mac lalu di sebuah stesen minyak Bukit Bunga.

"Bagaimanapun, pihak kami sedang melakukan siasatan bagi menjejaki suspek tersebut melibatkan kerjasama dengan beberapa agensi," katanya kepada pemberita semasa membuat tinjauan di sebuah premis menjual telur di Tanah Merah hari ini.

Beliau menjelaskan, kenderaan yang dirampas itu juga turut diubah suai di bahagian bonet belakang dengan penambahan tangki minyak khas untuk tujuan penyeludupan minyak petrol.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu katanya, sebanyak 17 kes terlibat di bawah akta tersebut sepanjang tahun ini dengan nilai rampasan sebanyak RM68,284.84.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!