Sepasang suami isteri antara 6 individu didenda RM600

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai enam individu termasuk sepasang suami isteri masing-masing didenda RM600 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad lalu.

Jurutera, Ahmad Syazwan Mohamad Hanafiah, 31, bersama isterinya, Nur Farhana Abdul Razak, 26; Pengawal Keselamatan, Mohd Norsyafiq Affandy Md Norazam, 27; penganggur, Hamzah Hazmi Anhar, 23; Nurul Amirah Johan, 28 dan pengurup wang, Nurul Zaitulakmar Mustapa, 33, dikenakan denda itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain yang diwartakan dengan tujuan bukan dalam mana-mana perkara yang diperuntukkan.

Empat daripada mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 2.50 petang di sekatan jalan raya susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ukay Perdana Ampang Jaya pada 5 April lalu.

Sementara itu, dua lagi tertuduh didapati melakukan kesalahan tersebut pada hari yang sama jam 9.30 malam di sekatan jalan raya susur keluar masuk Taman Cheras Indah ke Ampang.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel Berkaitan: