Kerajaan sedia RM200 juta bantu usahawan mikro: Wan Junaidi

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan menyalurkan sebanyak RM200 juta kepada usahawan mikro yang terjejas perniagaan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan (Rakyat Prihatin PKS) itu menyasarkan 33,000 usahawan mikro.

Menurutnya, TEKUN mewujudkan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) dengan nilai maksimum pembiayaan sehingga RM10,000 untuk dimanfaatkan.

“CBRM adalah pembiayaan suntikan modal pusingan kepada usahawan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan sedia ada yang terjejas. Usahawan juga tidak dikenakan sebarang caj,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, skim CBRM terbuka kepada semua sektor perniagaan dengan tempoh bayaran balik maksimum sehingga 3 tahun dan usahawan juga akan diberi penangguhan bayaran balik selama 6 bulan.

“Usahawan yang disenarai hitam juga boleh dipertimbangkan permohonan (tertakluk mengikut kes).

“Saya berharap skim CBRM akan dapat membantu meringankan beban usahawan mikro dan seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia,” katanya.

Usahawan boleh membuat permohonan di https://tinyurl.com/PermohonanCBRM atau layari www.tekun.gov.my untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan: