Rumah Ngaji Perak anjur Arafah Quran Hour, tawar tukar al-Quran lama

Penganjuran kali ini diawalkan sehari berbanding tarikh sebenar 9 Zulhijjah bagi memberi ruang kepada orang ramai hadir tanpa kekangan urusan persiapan hari raya.
Penganjuran kali ini diawalkan sehari berbanding tarikh sebenar 9 Zulhijjah bagi memberi ruang kepada orang ramai hadir tanpa kekangan urusan persiapan hari raya.
A
A
A

IPOH - Rumah Ngaji Negeri Perak akan menganjurkan program Arafah Quran Hour di Masjid Al-Jami’ Al-Ahmadiat, Kampung Cangkat Larang di sini bermula jam 9 pagi pada Isnin ini.

Pengerusinya, Robaatun Hadayiah Harun berkata, program tahunan itu kembali diadakan di Perak selepas tidak dianjurkan tahun lalu dengan sasaran penyertaan sekitar 300 peserta dalam kalangan ahli Rumah Ngaji sekitar Ipoh.

Menurutnya, program berkenaan akan menampilkan pendakwah kelahiran Palestin, Sheikh Muhammad Wael sebagai pembaca surah, manakala sesi pentadabburan disampaikan pendakwah bebas, Muhammad Musytaq Al Ashari berpandukan Surah Al-Muzzammil dan Surah Al-Hajj.

“Penganjuran kali ini diawalkan sehari berbanding tarikh sebenar 9 Zulhijjah bagi memberi ruang kepada orang ramai hadir tanpa kekangan urusan persiapan hari raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Robaatun
Robaatun

Beliau berkata, antara keistimewaan program itu ialah kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan yang menyediakan perkhidmatan pertukaran al-Quran lama kepada naskhah baharu.

“Peserta digalakkan membawa al-Quran lama untuk ditukar dan jumlahnya bergantung kepada kehadiran, dianggarkan sekitar 300 naskhah atau lebih,” katanya.

Dalam pada itu, Robaatun berkata, pemilihan Masjid Al-Jami’ Al-Ahmadiat sebagai lokasi program bertujuan memperkenalkan masjid yang masih baharu kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Kami dimaklumkan masjid ini siap kira-kira dua tahun lalu dan komuniti Rumah Ngaji di sini pula diwujudkan sejak setahun lalu. Kita lihat ini sebagai peluang untuk memperkenalkan aktiviti Rumah Ngaji dan masjid kepada orang ramai,” katanya.

Program tersebut membawa konsep penghayatan Hari Arafah dengan peserta digalakkan mengenakan pakaian berwarna putih sebagai simbolik kesucian dan kesatuan ummah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!