Laman web khas bantu peniaga jual produk sepanjang Ramadan

Aminuddin (tengah) menyerahkan bakul buah-buahan kepada Mohamad (kanan). Turut kelihatan Basri (kiri).
Aminuddin (tengah) menyerahkan bakul buah-buahan kepada Mohamad (kanan). Turut kelihatan Basri (kiri).
A
A
A

SEREMBAN – Kerajaan negeri sedang membangunkan satu laman web khas bagi membantu para peniaga memasarkan dan menjual produk mereka secara dalam talian menjelang Ramadan ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif ini antara langkah bagi membantu golongan peniaga yang terjejas selepas kerajaan negeri memutuskan tiada penganjuran bazar Ramadan tahun ini susulan wabak koronavirus (Covid-19).

“Kita sedang bangunkan laman web berkenaan dan akan cuba siapkan sebelum Ramadan.

“Para peniaga nanti boleh mendaftar di laman web itu yang membolehkan mereka menjual produk masing-masing secara dalam talian,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan buah-buahan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan kepada Petugas Barisan Hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Basri Jasmo.

Melalui laman web tersebut, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai produk jualan peniaga di setiap daerah seperti makanan atau barang tertentu ketika Ramadan dengan pembelian dibuat secara dalam talian atau pandu lalu.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah meluluskan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada FAMA Negeri Sembilan sebagai modal pusingan bagi aktiviti pembelian hasil pengeluaran ladang dan pembekalan barang makanan keperluan asas.

Beliau berkata, sumbangan itu bagi menjamin rantaian bekalan makanan tidak terputus sekali gus membantu pengeluar atau usahawan tani.

Artikel Berkaitan:

“Sumbangan itu termasuk bagi membantu pelaksanaan aktiviti pemasaran hasil pertanian berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini kerana kebanyakan hasil pertanian tidak dapat dipasarkan seperti biasa kerana banyak outlet peruncitan ditutup,” katanya.