Balik terus ke rumah selepas bertani, tangkap ikan

Mohd Imran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di DUN Sungai Panjang di sini.
Mohd Imran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di DUN Sungai Panjang di sini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang yang majoritinya bergantung kepada sumber pertanian dan perikanan sebagai punca pendapatan utama menyambut baik usaha kerajaan membenarkan sektor itu beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, sebelum ini terdapat kekeliruan hingga menyebabkan ada dalam kalangan pesawah, petani dan nelayan tidak meneruskan aktiviti penanaman serta ke laut.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang terlibat dalam sektor itu dinasihatkan supaya terus pulang ke rumah sebaik sahaja menyempurnakan pekerjaan masing-masing.

"Misalnya, jika sebelum ini sebaik sahaja selesai membaja dan meracun di sawah kita singgah ke kedai kopi untuk bersembang dengan rakan-rakan, situasi itu tidak boleh dilakukan sepanjang PKP ini.

"Semua yang terlibat dalam sektor ini sejurus selesai sahaja urusan di sawah, kebun kelapa sawit, kebun sayur dan balik dari laut menangkap ikan mestilah terus pulang ke rumah," katanya keitka Facebook Live selepas penyampaian sumbangan kepada penerima di DUN Sungai Panjang di sini hari ini.

Mohd Imran berkata, tiada lagi pergerakan sepanjang tempoh PKP melainkan jika ada kes kecemasan seperti membeli barangan keperluan asas atau mendapatkan rawatan di hospital.

"Janganlah kita sengaja bersiar-siar, makan angin atau ziarah rumah rakan sebaliknya ikut sahaja peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Kita gunakan sebaiknya teknologi komunikasi sedia ada untuk berhubung dengan rakan-rakan, cuma bezanya kita hanya berhubung melalui telefon berbanding berjumpa secara bersemuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sektor pertanian dan perikanan termasuk keseluruhan rantaian perniagaan seperti perkilangan, logistik serta pemasaran dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Media sebelum ini melaporkan terdapat pengusaha sektor pertanian terpaksa membuang hasil tanaman mereka selepas terkandas di sekatan jalan raya sekali gus merencatkan proses penghantaran bekalan ke pusat jualan.

Malah terdapat golongan petani turut berdepan kekeliruan apabila enggan meneruskan aktiviti penanaman pertanian kerana bimbang ditahan pihak berkuasa kerana kerajaan menguatkuasakan arahan PKP.