Covid-19: KKM sedia jalankan kajian vaksin jika ditawar WHO

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menjalankan kajian vaksin dan selain vaksin untuk koronavirus (Covid-19) jika diberi tawaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM dikenal pasti sebagai satu negara yang mempunyai penyelidikan berkualiti.

"Kalau ada tawaran daripada WHO, kita bersedia untuk bekerjasama menjalankan kajian bersama iaitu kajian vaksin ataupun kajian selain daripada vaksin," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian, ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus yang dilaporkan berkata Afrika tidak akan menjadi lokasi tapak ujian vaksin Covid-19.

Malaysia sebelum ini dipilih WHO untuk menyertai 'Kaji Selidik Solidariti' dalam usaha antarabangsa menguji beberapa ubat merawat jangkitan Covid-19.

Dilaporkan, kaji selidik diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia itu adalah usaha yang julung kali dilakukan bagi mengumpul data dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Ditanya kebimbangan sesetengah warganet mengenai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan tamat 14 April ini, Dr Noor Hisham berkata: "Kami memantau dengan teliti setiap hari dari segi peningkatan kes positif dan penyebaran (virus) di kawasan-kawasan di setiap negeri dan daerah”.

“Sepertimana yang kita tahu, tiada pertumbuhan eksponen dalam kes-kes kita. Walaupun kita belum lagi menang, kita juga belum kalah dalam peperangan ini.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi, apa yang lebih penting bagi kita ialah memantau dengan rapat dan mungkin kita perlu ada beberapa cadangan. Apa yang penting adalah KKM berdasarkan fakta dan sains, jadi ini bukan tentang pendapat saya tetapi fakta dan sains yang sedang kita lihat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sedang membuat pemodelan dari segi unjuran dan telah melihat laporan awal yang memerlukan satu atau dua hari untuk menganalisis keseluruhan data.

“Dengan data yang ada, KKM akan menyerahkan cadangan ke Kabinet dan perdana menteri, oleh itu, beberapa pilihan sudah ada dan keputusannya terpulang kepada Kabinet dan perdana menteri,” katanya.-Bernama