TM sumbang RM2 juta kepada Tabung Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Bhd (TM) hari ini menyumbang RM2 juta secara tunai kepada Tabung Covid-19 yang diwujudkan kerajaan untuk meringankan beban golongan yang terjejas berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya, Rosli Man berkata, setakat ini secara keseluruhan TM menyumbang RM5.5 juta dalam bentuk bekalan perubatan dan bukan perubatan kepada golongan yang memerlukan terutama pasukan barisan hadapan serta masyarakat di seluruh negara.

“Selain sumbangan kepada Tabung Covid-19 ini, TM Group di bawah pasukan tanggungjawab korporat Covid-19 kami telah melaksanakan beberapa inisiatif #kekaldisokong semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, syarikat itu turut menyumbang RM1 juta kepada Kementerian Kesihatan dan menggerakkan pasukan sukarelawan TM bersama ahli Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), GDRN untuk mengedarkan bekalan perubatan kepada tujuh hospital di Lembah Klang.

“Selain itu, hospital tersebut turut menerima 300 kotak bekalan bukan perubatan termasuk kit kebersihan peribadi bagi kegunaan kakitangan perubatan mereka.

"TM juga menyediakan Pakej TM Family Care bernilai RM2 juta yang diagihkan di seluruh negara kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Katanya, bantuan kewangan yang terdiri daripada sumbangan zakat Kumpulan TM sebanyak RM1 juta itu sedang diedarkan ke semua negeri melalui pejabat wilayah dan negeri TM.

“TM akan terus memantau situasi semasa bagi sebarang perkembangan dan menyesuaikan perkhidmatan kami untuk membantu pihak berkepentingan pada bila-bila masa diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Keselamatan dan kesejahteraan warga TM, pelanggan dan masyarakat menjadi keutamaan teratas kami,” katanya. - Bernama