X

Kindly register in order to view this article
!

Saringan kesihatan sebelum sidang DUN Pulau Pinang

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Semua individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dengan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang diadakan pada 17 April ini akan menjalani saringan kesihatan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mana-mana individu termasuk ADUN yang tidak sihat akan dikecualikan daripada mengikuti persidangan yang diadakan di Dewan Sri Pinang itu.

Menurutnya, sehubungan itu, pihak DUN akan mengaturkan kehadiran pegawai perubatan bagi menguruskan hal-hal berkaitan kesihatan semua individu terlibat.

"Selain saringan kesihatan, langkah-langkah pembasmian kuman lokasi, penjarakkan sosial dan pemeriksaan suhu badan akan dilaksanakan terhadap semua pihak yang menghadiri persidangan tersebut. Ia susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang untuk mengadakan sidang DUN ke-14 pada 17 April ini.

"Seperti saya maklumkan semalam, kerajaan negeri perlu menuruti Perlembagaan Negeri Pulau Pinang terutamanya Perkara 19(1) iaitu Yang Dipertua Negeri hendaklah memanggil Dewan Undangan dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu dari persidangan akhir," katanya pada sidang akhbar melalui Facebook Live di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, tempoh enam bulan itu akan tamat pada 7 Mei ini dan sidang DUN perlu diadakan sebelum tarikh tersebut bagi mengelakkan ia terbatal secara automatik.

"Persidangan akan dipendekkan kepada setengah hari dan tiada istiadat kawalan kehormat diadakan selain perasmian persidangan akan dimulakan dengan amanat Yang Dipertua Negeri. Selain itu, Ketua Pembangkang akan dijemput untuk menyampaikan ucapan.

"Saya juga akan memberikan kenyataan Ketua Menteri. Sementara itu soalan lisan yang dikemukakan ADUN akan dijawab secara bertulis. Persidangan DUN juga akan disiarkan secara langsung serta saya akan membuat kunjungan rasmi kepada Yang Dipertua Negeri untuk perkara ini," katanya.

Tambahnya, beliau berharap semua ADUN memahami situasi yang dihadapi dan akan terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat.

"Saya berharap persidangan DUN kali ini akan berjalan lancar walaupun kita menghadapi kekangan akibat keadaan wabak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus