Polis minta anggota segera selamatkan diri jika berlaku ribut petir

Zainuddin (kanan) menziarahi Ahmad Awang Kecil,77, (tengah) yang merupakan bapa kepada mangsa penahan petir di Kampung Hujung Bechah, Sik, hari ini.
Zainuddin (kanan) menziarahi Ahmad Awang Kecil,77, (tengah) yang merupakan bapa kepada mangsa penahan petir di Kampung Hujung Bechah, Sik, hari ini.
A
A
A

SIK- Polis Kedah mengarahkan anggotanya mengutamakan keselamatan diri jika berlaku ribut dan petir ketika menjalankan tugas sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketuanya, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, anggota yang bertugas perlu segera mencari perlindungan dan terus mengelak daripada berada di lokasi sekiranya berlaku kejadian fenomena alam itu.

"Saya telah beri arahan kepada anggota saya yang bertugas mengadakan sekatan jalan raya supaya tidak meneruskan tugas apabila berlaku ribut dan petir. Kadang-kadang petir berlaku awal sebelum hujan atau selepas hujan, bila berlaku ribut dan petir saya tidak galakkan mereka untuk berada di jalan raya.

"Mereka hendaklah mengambil perlindungan untuk keselamatan diri. Saya tak mahu anggota terlibat dengan kemalangan sebegini kerana mereka berada di kawasan lapang yang terdedah," katanya yang ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke lokasi panahan petir di Kampung Hujung Bechah, Sik, Kedah hari ini.

Zainuddin mengulas demikian memandangkan setiap anggota yang bertugas di lapangan yang membuat sekatan jalan raya terdedah dengan risiko ancaman ribut serta petir berikutan lokasi penugasan yang lapang serta terbuka.

Dalam kejadian semalam, dua individu ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dipanah petir semasa berada di sebuah pondok.

"Berdasarkan kejadian ini, saya menasihatkan orang awam supaya tidak berada di luar rumah atau kawasan terbuka semasa hujan dan petir," katanya.

Beliau turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan: