Ahli majlis MBSA ingkar PKP akan dikenakan tindakan disiplin

Antara beberapa gambar ahli majlis bersama tiga orang rakannya yang tular di laman sosial hingga menimbulkan kemarahan netizen kerana ingkar PKP
Antara beberapa gambar ahli majlis bersama tiga orang rakannya yang tular di laman sosial hingga menimbulkan kemarahan netizen kerana ingkar PKP
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini akan dikenakan tindakan disiplin selepas polis melengkapkan siasatan berhubung kes itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah meminta supaya ahli majlis berkenaan dikenakan tindakan tertentu susulan daripada tindakannya melanggar arahan PKP tersebut.

"MBSA juga sudah keluarkan kenyataan dan mereka menyerahkan kes ini kepada polis.

"Saya juga sedang minta untuk diambil tindakan disiplin tertentu," katanya selepas Program Khidmat Bantuan Belia Siswa Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Sebelum ini, seorang Ahli Majlis MBSA dan tiga rakannya ditahan polis kerana melanggar arahan PKP dengan bermain badminton di sebuah dewan orang ramai di Seksyen 25, di sini.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Ismail Muslim berkata, keempat-empat individu berkenaan yang ditahan akan disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), 2020.

Selain itu, MBSA dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kes itu kepada polis bagi menjalankan siasatan lanjut.

Kenyataan itu turut menyebut MBSA tidak akan berkompromi dengan individu, organisasi atau kumpulan termasuk penjawat awam yang melakukan kesalahan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

Artikel Berkaitan: