Pusat Perubatan Mawar turun caj ujian Covid-19

Satiadass (tengah) pada sidang media hari ini.
Satiadass (tengah) pada sidang media hari ini.
A
A
A

SEREMBAN – Pusat Perubatan Mawar (MMC) menurunkan caj ujian pemeriksaan koronavirus (Covid-19) secara pandu lalu yang ditawarkan daripada RM550 kepada RM500 mulai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Seri Dr Satiadass@Mohd Aslan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak makmal swasta yang dipertanggungjawabkan membuat ujian spesimen pesakit bersedia mengurangkan kos ujian.

“Spesimen pesakit yang diambil akan dihantar ke sebuah makmal swasta yang dilantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan keputusan akan diperoleh dalam tempoh kurang 48 jam.

“Hasil perbincangan dan rundingan dengan pihak makmal terbabit, mereka setuju turunkan kos ujian dan ini membolehkan MMC menyediakan perkhidmatan pada kadar lebih berkemampuan kepada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di MMC hari ini.

Menurutnya, sejak perkhidmatan itu disediakan pada 30 Mac lalu, seramai 137 individu berusia seawal dua tahun sehingga 70 tahun membuat pemeriksaan Covid-19 secara pandu lalu.

Beliau berkata, secara purata pada setiap Isnin hingga Sabtu, pihaknya menerima dari 12 sehingga 15 individu yang membuat pemeriksaan.

“Keistimewaan perkhidmatan ini setiap individu akan diberi sesi kaunseling sebelum, semasa dan selepas proses pengambilan sampel.

“Segala tatacara pengambilan sampel dan pengendalian pesakit juga adalah tertakluk kepada garis panduan dan peraturan KKM,” katanya.

Artikel Berkaitan: