X

Kindly register in order to view this article
!

Pengusaha inap desa terjejas, tiada pelanggan sejak PKP

Damai Rasidin Villa yang turut terjejas meminta kerajaan membantu industri itu yang turut terkesan sepanjang PKP.
A
A

SABAK BERNAM - Pengusaha inap desa di sekitar kawasan Sabak Bernam meminta kerajaan memberi tumpuan khusus kepada industri pelancongan itu yang terjejas sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

Pengusaha Homestay Damai Rasidin Villa, Aminuddin Yusop, 67, berkata, rata-rata pengusaha inap desa terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) hingga menjejaskan sumber pendapatan utama mereka selama ini.

Malah, katanya, pengusaha turut dibebani dengan kos selenggara tinggi selain terpaksa membayar kos upah pekerja dalam keadaan inap desa tidak dikunjungi pelanggan.

"Kami juga terbeban kerana lesen perniagaan premis inap desa mencecah RM2, 000 setahun, selain kadar elektrik dan air di premis lebih tinggi berbanding kediaman," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, kesan daripada itu mengakibatkan pengusaha inap desa terpaksa menanggung kerugian besar.

"Saya sendiri terpaksa alami kerugian puluhan ribu disebabkan pembatalan tempahan inap desa daripada pelanggan," katanya.

Aminudin berkata, industri pelancongan dikesan mula mengalami trend penurunan bilangan pengunjung sejak Januari lalu.

"Biasanya sebelum Hari Raya Aidilfitri dan cuti persekolahan kami menerima tempahan yang tinggi, sebaliknya tahun ini jumlah itu merosot mendadak," katanya.

Menurut Aminudin, kerajaan diminta mencari mekanisme terbaik membantu pengusaha inap desa yang selama ini turut membantu negara bagi merancakkan ekonomi setempat.

"Kita minta supaya kerajaan dapat membantu pengusaha inap desa termasuk menyediakan inisiatif atau bantuan yang dapat meringankan beban kami yang terlibat dalam sektor pelancongan," katanya.

Penyelaras Homestay Sungai Haji Dorani, Abd Rahman Daud, 60, berkata, pihaknya menyambut baik bantuan kerajaan untuk rakyat yang terjejas, sebaliknya turut berharap bantuan segera disalurkan kepada pengusaha inap desa.

Katanya, selain pengusaha inap desa, mereka yang terbabit secara langsung dalam sektor pelancongan juga turut menerima nasib sama.

"Misalnya penduduk kampung yang terlibat dalam aktiviti ekonomi pelancongan seperti mencanting batik, membuat layang-layang, persembahan kuda kepang, menguli roti canai dan beberapa aktiviti kebudayaan serta kesenian lain terpaksa dibatalkan, " katanya.

Katanya, kerajaan diminta memberi geran bantuan kepada pengusaha inap desa bagi mengelakkan syarikat berkaitan industri pelancongan tidak gulung tikar.

"Kita berharap kerajaan dapat memberi bantuan sewajarnya bagi membolehkan industri ini terus beroperasi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!