Pakej serampang dua mata

Orang awam mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin)oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Orang awam mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin)oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
A
A
A

Sangat lega dan sangat membantu.

Itu ungkap seorang tauke bengkel dengan 15 pekerja di Seri Kembangan, Selangor saat ditanya mengenai bantuan demi bantuan yang kini sedang dipanjangkan kerajaan kepada sektor korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

Walaupun beliau bukanlah Lee Salon, Haji Salleh dan Surjit Kaur seperti yang disebut-sebut dalam ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang kelmarin, tetapi beliau antara ratusan ribu majikan swasta yang kini boleh menarik nafas lega.

Dengan pengumuman pakej Prihatin Tambahan kelmarin, tauke bengkel itu boleh menerima sehingga RM54,000 di bawah subsidi upah dengan syarat mengekalkan pekerjanya sekurang-kurang untuk tempoh enam bulan.

Itu tidak termasuk suntikan kewangan, pinjaman mikro, pengecualian sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Tabung Pembangunan Sumber Manusia, diskaun levi pekerja asing dan penjimatan bil elektrik antara bantuan yang ibarat talian hayat kerajaan bagi mengelakkan mimpi ngeri sektor swasta negara.

Ketika ramai usahawan yang membayangkan kemungkinan perniagaan PKS mereka gulung tikar, gaji pekerja terpaksa dipotong atau ada pekerja mungkin terpaksa diberhentikan, kini ada sedikit sinar buat mereka di hujung terowong.

Memang diakui, musim Perintah Kawalan Pergerakan angkara Covid-19 semua orang susah. Yang berniaga makan, yang bisnes hotel, yang jadi pramugari, yang kerja kedai makan atau waima pelajar di universiti.

Namun bagi para peniaga, apabila bisnes tidak beroperasi selama hampir sebulan, aliran tunai syarikat adalah satu masalah paling besar. Kebankrapan adalah antara situasi terburuk yang cuba dijauhi, walaupun ramai pakar ekonomi mengakui ia hampir pasti tidak boleh dielakkan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kerajaan Muhyiddin yang baru menjangkau sebulan ini tahu mereka perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan angka syarikat bankrap seminimum mungkin.

Ini kerana dengan sektor PKS merupakan industri yang menggaji hampir 10 juta pekerja swasta terutamanya yang berada di bawah kumpulan B40 dan M40, adalah penting untuk kerajaan memberikan 'alat bantuan pernafasan' kepada usahawan PKS.

Yang pasti pakej Prihatin Tambahan kelmarin dilihat strategi bijak serampang dua mata kerajaan. Ini kerana selain dapat membantu sektor korporat serta PKS, pada masa yang sama kerajaan juga dapat mengelakkan pembuangan pekerja secara besar-besaran dalam tempoh enam bulan ini.