Jual sayur, bahan mentah secara dalam talian

Ahli PUIM mengambil petai yang dibeli secara pukal di kawasan sekitar Nilai.
Ahli PUIM mengambil petai yang dibeli secara pukal di kawasan sekitar Nilai.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Usahawan Internet Malaysia memperkenalkan model bisnes baharu dengan memasarkan secara dalam talian bahan mentah termasuk sayur-sayuran yang dikumpulkan melalui pembelian pukal.

Presidennya, Mohd Azrul Mohd Nor berkata, projek rintis memasarkan bahan mentah secara dalam talian itu dilakukan di Nilai, Negeri Sembilan sejak minggu lepas sebagai inisiatif membantu usahawan yang kehilangan pendapatan akibat koronavirus (Covid-19) termasuk pembekal, individu dan syarikat-syarikat yang terjejas untuk memasarkan produk keluaran mereka.

Menurutnya, bahan mentah yang dibeli secara pukal dari kawasan sekitar termasuk dari orang asli mendapat sambutan apabila kesemua bahan mentah tersebut habis setiap hari, dalam masa sama membantu orang ramai membeli barangan keperluan harian dengan mudah iaitu dengan hanya membuat tempahan secara dalam talian.

Mohd Azrul berkata, menerusi jualan dalam atas talian itu, ahli persatuannya terlibat untuk memasarkan produk itu dan sebuah syarikat di bawah persatuannya bertindak menyediakan keperluan logistik.

"Ahli-ahli PUIM yang terlibat akan diberikan komisen atas kerja-kerja pemasaran yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ahli PUIM menggumpulkan produk pertanian yang dibeli secara pukal sebelum memasarkan secara dalam talian.
Ahli PUIM menggumpulkan produk pertanian yang dibeli secara pukal sebelum memasarkan secara dalam talian.

Ahli PUIM di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berjumlah seramai 25,000 orang dan ekoran penularan pandemik Covid-19, pendapatan kebanyakan mereka turut terjejas.

Tambah Mohd Azrul, menerusi model baharu itu juga, pembekal terutama petani yang buntu untuk memasarkan produk mereka juga dapat dibantu agar mereka tidak berdepan kerugian kerana kegagalan untuk memasarkan kesemua hasil berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya mereka jual hasil di tepi-tepi jalan utama dan bila orang tak keluar rumah sepanjang tempoh PKP ini, pendapatan mereka pun memang terjejas.

"Pada masa sama, ia juga membantu usahawan-usahawan 'online' untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana ada antara mereka yang menjual produk yang bukan keperluan harian, jadi semestinya mereka sangat terkesan.

"Jadi mereka ini boleh jana pendapatan apabila jadi ejen pemasaran untuk menjual balik bahan mentah ini secara 'online'," katanya.

Sayur-sayuran segar turut dijual PUIM menerusi dalam talian.
Sayur-sayuran segar turut dijual PUIM menerusi dalam talian.

Beliau berkata, kaedah bisnes baharu itu akan diperluaskan lagi di kawasan-kawasan lain yang bersesuaian seperti di Cameron Highlands yang dilaporkan mengalami lambakan hasil pengeluaran ekoran tidak dapat dipasarkan.

"Kita mungkin akan melantik ahli-ahli kita di tempat-tempat lain yang ada sumber bahan mentah untuk menggunakan model bisnes sama di kawasan mereka," katanya.

Jelasnya, usaha yang dilakukan itu bagi memastikan masyarakat tidak berputus asa dalam tempoh PKP dan dapat bersama-sama memerangi penularan pandemik Covid-19.

Selain itu, Mohd Azrul memberitahu, untuk membantu lebih ramai rakyat menjana pendapatan ketika mengharungi tempoh PKP ini, pihaknya akan melancarkan siri siaran langsung kempen 'Jom Digital Bisnes' pada Isnin depan.

Katanya, ia bertujuan membantu orang yang tiada asas dalam perniagaan atas talian untuk menceburi perniagaan itu.

"Kita juga mungkin akan sediakan infografik. Jadi mereka boleh ikuti langkah-langkah yang diberikan untuk bergelar usahawan online.

"Pada mulanya mereka boleh gunakan kaedah percuma untuk pasarkan produk dan bila ada pendapatan, mereka mungkin boleh gunakan kaedah berbayar," katanya.