Malaysia perlu persediaan rapi harungi pasca PKP

Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 setelah mencatat 41 kes positif wabak itu. - Foto Bernama
Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 setelah mencatat 41 kes positif wabak itu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aspek kesiapsiagaan bagi mendepani norma baharu kehidupan merupakan perkara yang perlu dititikberatkan dalam memastikan rakyat Malaysia bersedia menghadapi fasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, ini kerana rakyat bakal berdepan dengan persekitaran yang berbeza berbanding dengan keadaan sebelum PKP dilaksanakan.

"Kita perlu sentiasa bersiap sedia, jadi kita kena tingkatkan persediaan, sebagai sebuah masyarakat.

Pandemik Covid-19 ini dilihat menggoncang keseluruhan sistem budaya dan tingkah laku kita,” katanya ketika menjadi panel dalam forum FBLive Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bertajuk 'Kesan PKP Dari Kaca Mata Saintifik', hari ini.

"Contohnya budaya kita suka bersalam-salaman dan melawat saudara-mara. Jadi selepas PKP tamat, kita tak boleh kembali ke cara biasa kerana ia akan mengambil masa bagi virus (Covid-19) untuk hilang sepenuhnya,” tambahnya.

Beliau berkata, antara suasana baharu yang bakal dialami pasca PKP adalah ketika menyambut bulan Ramadan serta perayaan, menziarahi rumah sanak-saudara dan berjumpa dengan rakan-rakan.

Oleh itu menjelang ketibaan Ramadan, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk mengambil peluang ini bagi meningkatkan lagi urusan ibadah diri.

"Norma baharu ini bukan untuk selama-lamanya. Sekurang-kurangnya kita perlu faham.. ini adalah untuk masa depan dan memudahkan kita (sekiranya kita bersiap-sedia),” katanya

Artikel Berkaitan:

Forum itu dikendalikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Senada dengan Dr Jamilah ialah pakar psikiatri dari Universiti Malaya Profesor Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin yang juga menjadi panel dalam forum itu.

Jelas Dr Amer, perbincangan secara mendalam perihal aspek kesiapsiagaan perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia benar-benar bersedia mengharungi pasca PKP.

"Jadi pastinya akan ada perbezaan ketara. Sambutan syawal (mungkin) tidak seperti dulu, bazar Ramadan pun tidak digalakkan dan solat terawih pun ada perbezaannya selepas ini.

"Ada segelintir masyarakat dapat menyesuaikan diri dengan baik, tetapi ada juga yang tidak. Jadi kita kena ada perancangan dan komunikasi yang jelas, semasa peralihan dan pasca PKP, bagi mengelak berlakunya masalah," jelas Dr Amer.

Dalam pada itu, kedua-dua panel bersetuju dengan amalan jarakan sosial serta kebersihan diri secara konsisten, Malaysia dapat memerangi penularan wabak Covid-19.

Dr Jemilah menyuarakan harapannya agar rakyat Malaysia maju ke hadapan dan bersatu bagi menangani Covid-19, meskipun ia memakan masa.

"Banyak pengajaran yang kita boleh pelajari (daripada isu Covid-19). Ia menghantar satu mesej, 'Saya sayangkan awak, kerana itu jarakkan diri saya'.

"Semuanya akan mengambil masa. Sebagai seorang doktor saya berpandangan orang akan maafkan anda sekiranya mereka kehilangan wang, tapi mereka tidak akan maafkan anda sekiranya ia melibatkan nyawa yang tersayang,” katanya.- Bernama