Pertimbang keputusan larang kilang, ladang sawit beroperasi di Sabah

Anifah Aman
Anifah Aman
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Sabah diminta mempertimbangkan semula keputusan melanjutkan penutupan operasi kilang dan ladang kelapa sawit di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas Menteri Luar Negeri dan Bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Anifah Aman berkata, keputusan kerajaan Sabah bercanggah dengan kerajaan Persekutuan yang membenarkan sektor perindustrian keperluan asas beroperasi ketika ini.

Menurutnya, tidak salah membenarkan aktiviti-aktiviti yang terlibat meneruskan operasi tapi dengan mematuhi peraturan pencegahan wabak Covid-19 seperti mengamalkan jarak sosial, memakai alat-alat pencegahan dan sebagainya.

“Ini dapat membantu bukan sahaja memenuhi keperluan asas rakyat tetapi menyumbang kepada ekonomi kita yang sememangnya terkesan akibat wabak Covid-19.

“Kerajaan Sabah seharusnya mempertimbangkan semua aspek termasuklah ekonomi sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sektor kelapa sawit merupakan salah satu sumber pendapatan kerajaan negeri itu sebanyak kira-kira RM1 bilion daripada pendapatan cukai negeri.

Dalam pada itu, Anifah berkata, masalah kewangan mahu pun kerjaya akan memberi kesan kepada emosi.

“Apabila emosi terganggu, kehidupan akan terganggu dan memberi kesan secara peribadi kepada diri sekali gus mewujudkan tekanan dalam diri.

Artikel Berkaitan:

“Ini boleh berlaku apabila rakyat kehilangan pekerjaan dan sumber rezeki apabila majikan tidak dapat membayar gaji disebabkan keadaan ekonomi kerana tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, kadar jenayah berkemungkinan meningkat sekiranya keadaan ekonomi terus merudum dan rakyat hilang sumber pendapatan.

Menurutnya, keputusan kerajaan Persekutuan membenarkan sektor berkenan beroperasi semasa PKP dengan mengambil kira keperluan semasa.

“Jangan sampai rakyat mati bukan sahaja disebabkan oleh Covid19 tetapi kerana kelaparan.

“Jangan nanti apabila sektor ini tidak lagi dapat menyumbang, kerajaan Sabah menggunakan alasan tiada duit bagi mengurangkan bantuan rakyat,” katanya.