Perkara utama adalah buat jadual waktu sepanjang PKP

Anak yang paling bongsu berusia sembilan tahun khusyuk menyalin nota untuk sesi tazkirah selepas solat berjemaah.
Anak yang paling bongsu berusia sembilan tahun khusyuk menyalin nota untuk sesi tazkirah selepas solat berjemaah.
A
A
A

SHAH ALAM – Pendakwah terkenal yang juga Ahli Dewan Negara, Ustazah Asmak Husin dan suami, Ustaz Fakeruddin Omar berkongsi kaedah membentuk sahsiah dan kerohanian anak-anak ketika ibu bapa bersama di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Asmak berkata, dalam tempoh PKP masing-masing berada di rumah dan perkara pertama yang dilakukan ialah menyusun jadual waktu.

Menurutnya, jadual waktu ini merangkumi ibadat dan aktiviti harian kerana dua perkara itu antara kaedah untuk 'mengenali semula' ahli keluarga kerana sebelum ini dua anaknya tinggal di asrama.

"Saya sendiri agak sibuk kerana sering ke luar negara. Jadi ketika PKP ini ambil peluang untuk mengenali anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, ketika anak-anak berada di depan mata banyak perkongsian dapat dilakukan selain mendengar cerita mereka.

Mengulas lanjut, Asmak berkongsi, beliau dan suami banyak memberi tumpuan untuk memupuk nilai kepimpinan anak-anak.

“Perkara pokoknya ialah pupuk nilai kepimpinan. Sebab itu dalam jadual kami susun siapa yang membentangkan sejadah, jadi bilal dan imam. Tazkirah pula ada dua kali sehari iaitu selepas Zuhur dan selepas solat Mahgrib dan semua kena ambil bahagian daripada ayah, ibu hinggalah ke anak paling kecil.

"Ketika minggu pertama kami bagi kelonggaran kepada anak-anak untuk bagi tazkirah dengan apa yang mereka suka. Kebanyakan anak yang kecil suka kongsi sirah nabi manakala yang kakak pula kisah teladan.

Artikel Berkaitan:

“Masuk minggu ketiga PKP, suami melihat anak-anak sudah ada keyakinan untuk memberi tazkirah dengan memasukkan dalil dan anak yang kecil ini akan merujuk kakak mereka,” katanya.

Biarlah dapur berselerak yang penting anak-anak berusaha untuk membuat kuih dengan cara mereka sendiri.
Biarlah dapur berselerak yang penting anak-anak berusaha untuk membuat kuih dengan cara mereka sendiri.

Beliau berkata, semua anak-anaknya menunjukkan peningkatan kerana ada yang sudah mampu mengalunkan azan, sentiasa memberi kerjasama dalam bab pengurusan rumah tangga dan peka dengan tanggungjawab masing-masing.

Pada masa sama, tambahnya, sepanjang tempoh PKP, beliau juga bekerja dari rumah dan perkara itu sangat mencabar.

“Bekerja dari rumah lebih mencabar kerana banyak yang perlu diselesaikan, Saya perlu bijak membahagikan masa untuk anak dan kerja. Alhamdulillah semua anak-anak saya faham.

“Saya banyak terlibat dengan mesyuarat dan perbincangan sama ada dalam negara atau luar negara dan dilakukan secara dalam talian,” jelasnya.

Asmak berkata, kebanyakan aktiviti yang beliau dan suami rancangkan untuk anak-anak tidaklah terlalu padat.

“Aktiviti yang tidak padat dan mereka masih ada masa untuk bermain dan tolong-menolong menguruskan rumah. Saya nampak mereka dapat memupuk ukhuwah dalam kalangan mereka.

“Inilah fokus kami sepanjang PKP. Yang penting target kami walaupun sedikit tetapi berguna ke arah Muslim yang bagus.

“Kami adalah keluarga pendakwah dan kami mahu anak walaupun kerja apa di masa hadapan sama ada jadi guru, jurutera, ahli perniagaan atau suri rumah sekalipun kami mahu jiwa pendakwah tetap ada dalam diri mereka kerana itulah kami latih dari sekarang,” katanya.